Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin BN jadikan isu kedai roti modal 'bakar' Dr M
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Pemimpin-pemimpin BN menjadikan isu kedai roti premium The Loaf milik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai modal 'membakar' calon perdana menteri Pakatan Harapan itu.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor menyindir Mahathir patut belajar daripada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang berjaya mengaut “keuntungan” melalui syarikatnya Invoke.

Malah, tambahnya, ia dijana dalam tempoh dua tahun sahaja, berbeza dengan Mahathir apabila The Loaf sudah 12 tahun beroperasi.

“Cuba bayangkan sekiranya 12 tahun (Rafizi) berniaga, berapa banyakkah pendapatan yang dapat dijana beliau?

“Tun Mahathir perlu malu kepada Rafizi dan perlu belajar dari dia bagaimana untuk menguruskan perniagaan dengan baik,” katanya yang juga pembantu isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Mahathir semalam mendedahkan cuba menjual The Loaf bagi mendapatkan dana pilihan raya tetapi gagal selepas pembelinya didakwa didatangi pegawai lembaga hasil dalam negeri (LHDN).

Kesemua cawangan The Loaf di seluruh negara ditutup serta-merta Jumaat lalu kerana kegagalan itu.

Tanpa penyebut nama, Najib semalam dilapor turut menyindir Mahathir apabila menyifatkan pembangkang sebagai pelik kerana “kedai roti yang lingkup pun mereka nak salahkan BN”.

Vell Paari: Selamatkan kedai roti pun tak boleh

Sementara itu, Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari mempersoalkan bagaimana Mahathir akan menyelamatkan Malaysia dalam 100 hari jika kedai roti sendiri pun tidak dapat diselamatkan.

“Mengambil pendekatan perniagaan, Mahathir berkata kedai rotinya terpaksa ditutup kerana gagal mencari pelabur.

“Ini membimbangkan sebagai apabila calon perdana menteri tidak dapat mencari pelabur untuk kedai rotinya. Bagaimana beliau akan mencari pelabur untuk Malaysia dan membangunkan negara ini?” soal Vell Paari dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS