Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 |  Faktor modal bukan sesuatu yang perlu dirisaukan buat PAS walaupun mereka akan meletakkan calon di 160 kerusi parlimen pada PRU ke-14 ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu memiliki sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai calon mereka.

Menurut Takiyuddin ada pihak yang menyalurkan sumbangan secara bulanan dan jumlahnya adalah pelbagai.

Katanya selain mendapat dana daripada anggota parti, PAS juga menerima sumbangan daripada orang luar atau sumber lain yang diterima selepas dipastikan ia halal.

"Duit PAS ada di dalam poket ahli-ahli kami. PAS ada sejuta ahli dan jika seorang ahli sumbang RM35, kita dah ada RM35 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Takiyuddin PAS juga menerima sumbangan ikhlas daripada pelbagai pihak yang dibuat secara tetap.

"Ada ahli dan penyokong PAS beri sumbangan (daripada) sekecil-kecil RM10 setiap bulan, dan sebesar-besar jumlah.

"Kita tidak semak (sama ada) dia orang PAS atau bukan, asalkan dia bagi sumbangan dengan ikhlas, disahkan halal - kita boleh terima daripada siapa saja," katanya.

Bagi pun tak mahu

Turut menjadi sumber dana PAS, kata penyandang kerusi parlimen Kota Bharu itu, ialah hasil yuran penyertaan muktamar setiap tahun.

PAS menarik perhatian ramai apabila presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 16 April lalu mengumumkan rancangan mereka meletakkan calon di 160 daripada 222 kerusi parlimen seluruh negara.

Jumlah itu dianggap terbesar berbanding mana-mana parti yang menyerti PRU ke-14 ini.

Ia tidak termasuk calon yang akan bertanding di peringkat dewan undangan negeri.

Ekoran kenyataan Abdul Hadi itu beberapa pihak membangkitkan isu kemampuan PAS menyediakan dana mencukupi bagi memenuhi pelbagai keperluan semasa.

Untuk rekod setiap seorang calon bagi kerusi parlimen dikehendaki menyediakan deposit RM10,000 manakala RM5,000 bagi peringkat DUN.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata wang untuk deposit calon serta bahan kempen saja boleh mencecah jutaan ringgit dengan percaturan PAS berkenaan.

Bagaimanapun Takiyuddin menegaskan PAS tidak pernah menerima sumbangan daripada Umno.

"Kalau mereka bagi pun, kita tidak akan ambil," katanya.

Terdahulu Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menganggap langkah pihak tertentu "mereka-reka fitnah" ke atas parti itu kelihatan poyo belaka.

Katanya, jumlah RM35 juta dapat dikumpul jika setiap ahli parti itu - yang berjumlah sejuta - mendermakan RM35 kepada parti.

"Itu belum diambil kira sumbangan korporat PAS yang tentu menyumbang pada kadar berlipat kali ganda," katanya.

Lihat Komen
ADS