Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanipa: Memang Rafidah tak perlu minta maaf
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 9:24 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Keputusan yang dibuat mahkamah Indonesia ke atas Equanimity hanyalah berkaitan rampasan proses rampasan kapal mewah berkenaan dan bukannya menentukan kaitan dengan Jho Low atau 1MDB, kata seorang pemimpin AMANAH.

Mengkhususkan kenyataannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, Hanipa Maidin berkata pihak yang menggunakan keputusan mahkamah Indonesia sebagai hujah mempertahankan syarikat pelaburan milik kerajaan serta Jho Low itu tidak boleh berbangga sebenarnya.

"Adakah mahkamah Indonesia itu terlibat memutuskan kapal layar mewah Equanimity itu tidak ada langsung kena-mengena dengan Jho Low atau 1MDB? Tak ada kan?

"Jadi, jika tiada apa yang saudara dan orang seperti spesies saudara nak bangga sangat dengan keputusan tersebut?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah mahkamah di Jakarta pada 16 April lalu memutuskan bahawa penyitaan Equanimity oleh polis Indonesia adalah tidak sah.

Kapal mewah berharga kira-kira RM1 bilion itu disita pada 28 Feb lalu.

Kata hakim mahkamah di Jakarta Selatan itu langkah berkenaan - diambil ke atas aset yang dikehendaki Jabatan Kehakiman AS - tidak mengikut undang-undang.

Tak jangka minta maaf

Arul Kanda kemudian berkata pihak yang sebelum ini mengkritik 1MDB masih belum memohon maaf walaupun mahkamah Indonesia sudah membuat ketetapan yang tidak memihak kepada pihak berkuasa Indonesia.

Beliau yang juga presiden 1MDB memetik dua nama bekas menteri kanan dalam kenyataan yang disiarkan akhbar Singapura The Straits Times, iaitu Tan Sri Rafidah Aziz serta Tan Sri Dr Rais Yatim.

"Banyak kritikan terhadap 1MDB dan kerajaan termasuk dari orang seperti Rafidah dan Rais yang mempunyai niat tertentu, mereka buat pelbagai kenyataan berniat jahat dan mengelirukan.

"Namun selepas mahkamah Indonesia buat keputusan, mana permohonan maaf daripada Rafidah, dari Rais, dari ahli politik pembangkang yang menghebohkan isu ini? Saya tak rasa mereka akan berbuat demikian," katanya.

Rafidah yang terkenal dengan sikap lantangnya kemudian memberikan reaksi: "Mohon maaf untuk apa? Kerana beritahu fakta?"

Beliau menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini berhubung persoalan kenapa pihak berkuasa Malaysia tidak dapat menjejaki atau merampas Equanimity sedangkan pihak berkuasa Indonesia mampu melakukannya.

Rafidah sebaliknya berkata Arul Kanda yang seharusnya memohon maaf kepada rakyat.

Hanipa yang juga anggota pimpinan pusat AMANAH berkata Arul Kanda membuat cubaan yang baik untuk menggunakan hujah keputusan mahkamah bagi membela 1MDB serta Jho Low, namun cara ia dikemukakan adalah lemah.

"Saya setuju 100 peratus dengan Rafidah yang berkata, nak mohon maaf untuk apa?

"Adakah nak pohon maaf sebab wang rakyat yang dikaitkan dengan 1MDB digunakan untuk membeli kapal mewah seperti Equanimity, yang dikaitkan pula dengan Jho Low yang tak pernah didakwa setakat ini dan hilang entah ke mana, dan pernah berfoto sakan dengan MO1 (Malaysian Official 1) serta keluarganya?" katanya.

Hanipa yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata, sebagai menghormati prinsip kebebasan bersuara beliau tetap menghormati pandangan Arul Kanda.

"Tapi biar saya ingatkan anda - makin kerap anda bercakap, makin meluat rakyat kepada pihak yang ada kaitan dengan 1MDB," katanya.

Lihat Komen
ADS