Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Keluarga bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kekal bersama parti itu walaupun anak kedua allahyarham, Nik Omar menyertai Pakatan Harapan.

Anak saudara Nik Aziz, Dusuki Abdul Rani berkata demikian ketika menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dilaporkan berkata bahawa parti serpihan PAS, AMANAH berjaya menarik lebih banyak sokongan pada PRU14 ini kerana lebih menyerupai perjuangan Nik Aziz yang sederhana terhadap Islam berbanding kepimpinan semasa PAS.

“Tak betul. Saya anak sedara (saudara) tok guru (Nik Aziz). Kemudian sepupu saya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS, (juga) anak sedara tok guru.

“Datuk Nik Zawawi (Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh) yang bertanding di Pasir Putih, anak sedara tok guru.

“Kemudian Ustaz Nik Abduh anak tok guru. Kemudian isteri pada tok guru sendiri pun bersama dengan PAS. Jadi tak ada pun... mereka ni saja nak cari jalan untuk menipu masyarakat,” kata Dusuki.

Beliau adalah calon PAS untuk DUN Kota Anggerik, sebuah kerusi di bawah Parlimen Shah Alam, di mana Khalid mempertahankan kerusinya untuk penggal ketiga.

Dusuki berkata malah adik Nik Omar, Nik Abduh dan ibu mereka Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak tetap kekal bersama PAS selepas Nik Aziz meninggal dunia pada tahun 2015.

“Jadi tak ada pun (AMANAH lebih menyerupai perjuangan Nik Aziz)... mereka ini saja nak cari jalan untuk menipu masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di ibu pejabat PAS Selangor di Shah Alam, hari ini.

Dusuki berkata keputusan Nik Omar untuk bertanding menentang PAS, di sebalik idak mendapat restu ibunya, adalah satu “kerja jahat” untuk memecah belah keluarga Nik Aziz itu.

“Nik Omar ditarik dan dilarikan. Kita kata ini satu kerja jahat yang sedang dilakukan.

“Khianat terhadap masyarakat, nak memecah-belahkan keluarga. Nik Omar dah bagitau ibu dia tak restu. Jadi mereka dah tahu. Sebelah keluarga kami pun dah maklum. Memang tak dibenarkan.

“Tiba-tiba Nik Omar buat juga. Itu dia kena jawab depan Allah SWT. Tak ada dosa lebih besar atas muka bumi ini, dosa derhaka kepada ibu, antara dosa besarlah, selain syirik,” katanya.

Dusuki juga menggesa Khalid supaya bertaubat kerana pengkhianatannya terhadap PAS dan memberi amaran bahawa pengundi di Shah Alam akan menghukumnya melalui kotak undi.

Nik Omar dipecat dari PAS pada Sabtu lalu selepas beliau mengemukakan kertas pencalonannya sebagai calon Pakatan Harapan untuk kerusi DUN Chempaka di Kelantan di bawah AMANAH.

Nik Omar bagaimanapun mempertahankan langkahnya dan berkata ia adalah satu-satunya cara untuk memastikan tadbir urus negara yang lebih baik, yang menurutnya hanya mampu dicapai melalui HARAPAN.

Nik Aziz, adalah menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS selama bertahun-tahun, dan juga menjadi ADUN Chempaka selama lima penggal sejak 1995 hingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada lewat tahun 2015.

Beliau juga berpernan penting dalam penyertaan PAS bersama Pakatan Rakyat yang mencetuskan tsunami politik tahun 2008 hingga menyaksikan BN kehilangan lima negeri.

Lihat Komen
ADS