PRU14 | Anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menegaskan sepatutnya Nik Mohamad Abduh menghormatinya sebagai abang.
Kata calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dewan undangan negeri (DUN) Chempaka itu, dalam Islam juga diajar seseorang abang wajib sayang kepada adiknya.
"Walaupun adik buat masalah. Dan dalam Islam diajar seorang adik patut tahu cara menghormati abang dia," katanya ketika ditanya mengenai hubungan dengan keluarga selepas menyertai HARAPAN sekali gus tidak lagi bersama perjuangan adiknya, Nik Mohamad Abduh yang masih di dalam parti PAS.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program ceramah di Bilik Operasi HARAPAN DUN Kadok, Kota Bharu, malam ini.

Terdahulu Nik Abduh memberi gambaran abangnya bakal berhadapan penentangan ibu mereka Tuan Sabariah Tuan Ishak dalam kempen pilihan raya ini.
Anggota jawatankuasa PAS Pusat itu dalam kenyataannya, semalam ibu mereka Tuan Sabariah akan berkempen untuk PAS di DUN Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa.
"Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempen di Parlimen Bachok (yang ditandingi Nik Abduh) atas faktor kesihatan yang sedikit membataskan pergerakan, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS dan rakyat Bachok.
"Tetapi disebabkan ada sedikit gangguan dari dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana," katanya yang juga calon PAS bagi parlimen Bachok.
Nafi tak pulang ke rumah
Sementara itu Nik Omar berkata, bukan Nik Abduh sahaja yang berjumpa dengan bonda sebaliknya beliau turut berbuat demikian.
"Kalau adik-beradik ada 10 orang, yang kelima pergi jumpa bonda, ambo (saya) anak kedua pun pergi juga jumpa dengan bonda," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak pulang ke rumah, Nik Omar sebaliknya menafikan dakwaan tersebut.
Katanya, sebagai sebuah negara demokrasi pihak musuh politik sepatutnya mencari hujah lebih kukuh.
"Kita negara demokrasi, kalau nak cari hujah biar nampak kukuh sikit.
"Malam ini ambo balik, esok ada perhimpunan dengan pelajar ambo di Maahad Darul Anuar, ambo ada perjumpa dengan guru-guru jam 8.30 pagi esok? Boleh pegi tengok," katanya yang juga pengetua di sekolah tersebut.
Maahad Darul Anwar terletak berhampiran dengan rumah ibu Nik Omar.
