HARAPAN bawa orang luar dengan bas - Najib
Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak menempelak Pakatan Harapan yang didakwanya terpaksa ‘mengimport’ orang luar untuk menghadiri ceramah mereka semata-mata untuk menunjukkan sokongan rakyat.
Katanya, BN tidak perlu melakukan taktik sedemikian kerana mempunyai penyokong tulen iaitu penduduk tempatan yang setia dengan perjuangan parti itu.
“Mereka bawa orang luar dengan bas dan kemudian mendakwa mendapat sambutan ramai.
“Tetapi kita di sini, saya tidak nampak ada bas pun, tapi lihatlah sambutan yang kita terima, ramai yang hadir hari ini adalah penyokong sebenar kita (BN),” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.
Najib merujuk ceramah HARAPAN pada malam Jumaat lalu di Putrajaya yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan sejumlah 4,000 hadirin memenuhi kawasan tempat letak kereta Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya bagi menghadiri Ceramah Kebangkitan Rakyat manakala siaran langsung acara itu di laman Facebook rasmi Mahathir mencecah 50,000 tontonan.
Menurut Najib, sebahagian besar hadirin pada ceramah HARAPAN adalah dibawa dari luar dan bukan penjawat awam.
Sebaliknya, kata perdana menteri sementara itu, BN menerima sokongan ramai daripada penduduk tempatan pada setiap siri ceramah calonnya.
Semalam bertempat di di Bukit Piatu, Bukit Katil Melaka, Mahathir bersama Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz menggempur Melaka dengan kehadiran ribuan orang.
Pihak penganjur mendakwa tidak kurang 30,000 yang hadir manakala anggaran kasar Malaysiakini adalah sekitar 10,000 orang.
Turut mengakui jumlah hadirin yang ramai di pentas pembangkag adalah veteran Umno, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mengingatkan parti itu bahawa lautan manusia kini tampil menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan.
Di Twitter, beliau memuat naik gambar-gambar ceramah pembangkang yang dibanjiri manusia.

