Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Nan tiada kuasa pecat, Umno pertubuhan haram - Daim
Diterbitkan:  May 5, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini mendakwa Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mempunyai kuasa untuk memecatnya daripada parti itu.

“(Datuk Seri) Tengku Adnan (Tengku Mansor) tiada kuasa untuk memecat sesiapa.

“Sebagai setiausaha agung, Tengku Adnan bertanggunjawab terhadap kekacauan yang berlaku pada Umno hari ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Daim juga mendakwa, Umno kini sebuah pertubuhan haram.

Walaupun tidak menghuraikannya, beliau dipercayai merujuk kepada Fasal 9.3 perlembagaan Umno, yang menyatakan bahawa Majlis Tertinggi hendaklah dipilih setiap tiga tahun, dengan lanjutan tambahan 18 bulan dibenarkan di bawah Fasal 10.16.

Pemilihan parti terakhir adalah pada 19 Oktober 2013.

Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti pada Jun 2015, mengumumkan bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan, kerana Umno perlu bersiap sedia untuk pilihan raya umum.

Justeru, Umno mesti mengadakan pemilihannya selewat-lewatnya, 19 April lalu yang gagal dikasanakannya.

Sebelum ini beberapa peguam, termasuk Tan Sri Rais Yatim juga menyatakan pandangan yang sama tetapi diabaikan oleh parti itu.

Sebaliknya, Tengku Adnan berkeras bahawa pemilihan parti boleh diadakan sebelum 19 April, 2019, kerana telah mendapat lanjutan kedua daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tengku Adnan hari ini mengesahkan bahawa Umno telah bertindak memecat dua pemimpin veteran parti iaitu Daim dan Tan Sri Rafidah Aziz kerana bersekongkol dengan pembangkang. Manakala seorang lagi, Tan Sri Rais Yatim masih disiasat.

Selain menyertai ceramah Pakatan Harapn di Melaka semalam, Daim juga membuat spekulasi bahawa BN akan kehilangan cengkaman kuasa ke atas Kedah dan Perak, pada 9 Mei ini manakala peluang mereka adalah "50-50" di Johor dan Sabah.

Lihat Komen
ADS