Peluang anak didik KJ di Kuala Langat
PRU14 | Pada 2008, timbalan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) muncul kali pertama di persada pilihan raya dan menang kerusi parlimen Rembau.
Sekarang, sepuluh tahun kemudian, anak didik KJ dan bekas pembantunya Shahril Sufian Hamdan, berusaha untuk mengulang kejayaan bekas ketuanya melalui kerusi parlimen Kuala Langat.
Kedua-dua ahli politik ini berkongsi persamaan. Mereka masuk politik pilihan raya pada usia 32 tahun dan pernah mendapat pendidikan tinggi di UK. Walau bagaimanapun, hal keadaan kerusi pilihan raya mereka jauh berbeza.
Khairy menang di Rembau yang kekal kubu kuat Umno. Shahril sebaliknya ditugaskan merampas kerusi Parlimen Kuala Langat yang disandang PKR selama dua penggal.
Seperti Rembau, Kuala Langat adalah kerusi campuran bercirikan separa-bandar yang merangkumi pekan Banting, Morib, Jugra dan Pulau Carey. Penduduk Melayu membentuk majoriti sebanyak 57 peratus.

Shahril berdepan ahli politik veteran PKR Dr Xavier Jayakumar, 65, yang pernah dua kali berkhidmat sebagai exco kerajaan Selangor dan ahli parlimen Sri Andalas. Lawan ketiga daripada PAS ialah Dr Yahya Baba, 64 tahun, bekas pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Ketiga calon itu bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Langat kali ini.
Kemenangan di Kuala Langat amat baik untuk Shahril, yang di kalangan Umno kerap disebut-sebut sebagai bakal menjawat kedudukan ketua Pemuda Umno.
Bahan kempen Shahril memfokuskan pada belia dan berjanji untuk membawa pembangunan ke kawasan itu, meningkatkan infrastruktur awam dan membina rumah mampu milik.

Tidak seperti lawannya, beliau secara aktif mendokumenkan kempennya melalui media sosial, dengan harapan dapat menjangkau pengundi kali pertama, yang membentuk 20 peratus daripada 102,406 pengundi Kuala Langat.
"Sokongan sangat menggalakkan tetapi ada lebih banyak kerja yang perlu saya lakukan, saya hormat saingan saya, mereka semuanya ahli politik berpengalaman," kata Shahril kepada media selepas enam hari berkempen.
Walaupun Xavier juga mungkin baru ke Kuala Langat, beliau bukan orang asing kerana telah berkhidmat dua kali dalam kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun, Xavier mengakui bahawa faktor bangsa akan memainkan faktor dalam pilihan raya ini.

"Kami mempunyai sokongan orang Melayu kerana program kerajaan negeri yang membantu penghidupan orang di sini," kata doktor kelahiran Ipoh itu kepada Malaysiakini.
Beliau berkata pasukannya berharap dapat meraih 35 peratus undi Melayu, dengan andaian beliau mendapat sebahagian besar undi bukan Melayu.
Beliau menjangkakan PAS bakal memperolehi 13 peratus undi Melayu, menjadikan parti itu saingan utamanya dan Shahril.
Calon PAS Dr Yahya Baba, satu-satunya anak tempatan dalam pertandingan ini yakin beliau mampu memenangi undi bukan Melayu.
Yahya pula berjanji untuk mendirikan sebuah universiti di Kuala Langat jika dipilih.

