ULASAN l Pernah diminta tarik diri dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia! Pernah diminta untuk memberi laluan! Sewaktu hendak bertanding, tidak direstui pucuk pimpinan!

Pernah jua disuap dengan duit untuk tidak bertanding. Malahan ketika itu pun, tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Lebih berat lagi, Presiden Umno ( ketika itu - Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Timbalan Presiden Umno (ketika itu - Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak menyatakan hasrat secara terbuka menyokong beliau.

Pada waktu itu, tidak menumpang populariti kepimpinan pesiden Umno dan timbalan presiden Umno langsung pun.

Itulah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Akhirnya, beliau muncul sebagai ketua pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang ke-11.

Itulah juga pertama kalinya pertandingan jawatan merebut ketua pemuda menyaksikan pertarungan lima penjuru.

Bertarikh 9 Oktober 1996 sewaktu menentang penyandang Tan Sri Rahim Thamby Chik, memperlihatkan pertandingan lima penjuru itu, Zahid mendapat 199 undi; Tan Sri Annuar Musa (135 undi); Rahim (103 undi); Tan Sri Isa Samad (72 undi) dan Abdul Rahman Salleh (1 undi).

Sejarah berulang

Tampaknya, sejarah pemilihan pertandingan itu berulang lagi bagi calon presiden Umno pada kali ini.

Zahid sudah menyuarakan hasrat lebih awal sebagai calon presiden Umno. Sebagai suatu pembaharuan dan keterbukaan, semua jawatan dalam parti Umno dibuka seluas-luasnya.

Penulis juga mengalu-alukan langkah keterbukaan pucuk pimpinan terutama daripada keputusan Majlis Tertinggi Umno yang mendengar denyut nadi ahli-ahli parti yang mahu kepimpinan yang segar dan kental.

Seperti Zahid sendiri, pengalaman adalah sebaik-baik guru. Segala pengalaman pahit manis perlu dijadikan iktibar dan pengajaran untuk berjaya dalam perjuangan.

Itulah yang menjadi salah satu pegangan perjuangan anak Bagan Datuk ini yang telah lalui pelbagai rintangan dan dugaan.

Mana tidaknya, sewaktu diumumkan sebagai timbalan perdana menteri Malaysia yang baharu pada Julai 2015, tidak pernah terjangkau akan pemikirannya untuk memikul amanah itu sewaktu ada krisis antara Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas itu, Zahid yang juga seorang naib presiden dipersetujui Majlis Tertinggi Umno untuk menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno dengan penuh rendah diri dan berusaha mendekati seberapa banyak yang boleh ke peringkat akar umbi.

Sesi jelajah ke peringkat mesyuarat bahagian telah mendekati Zahid dengan ahli-ahli parti. Antara yang pernah disuarakan kepada setiap ahli parti adalah:

• Setiap ahli perlu meneruskan perjuangan dan tidak menoleh ke belakang mengingati kisah lama.

• Walau apa pun cabaran yang dilalui, perjuangan tetap perlu diteruskan.

• Kita kena ada daya tahan.

• Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan.

• Tanggungjawab ahli memastikan 'rumah agam' Umno dipertahankan dan jika perlu usaha dilakukan bagi membaikinya.

• Jadilah seperti kesatuan kelip-kelip.

• Rapatkan saf dan kebersamaan.

Teringat juga penulis sewaktu berada di Perhimpunan Agung Umno 2017 ketika Zahid merasmikan sayap-sayap Umno yang mana ucapannya bertajuk Lembayung Arjana (Kejayaan) Bangsa.

Visi yang jauh ke depan pada waktu itu mencerminkan Zahid selama ini pun mempunyai “Winning Mentality” atau Falsafah Kemenangan yang bukan untuk dirinya sahaja tetapi menekankan Umno sendiri perlu memiliki winning mentality.

“Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun. Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan kita terjemahkan.

“Namun, berpaling tidak sama sekali!” kata Zahid dengan tegas menekankan perkara itu.

Buta warna dalam 3 perkara

Dalam hal lain, kelebihan beliau adalah buta warna dalam tiga perkara. Sebagai anak kampung yang berjuang atas dasar keinsafan dan kejujuran, apa yang perlu dibantu adalah berdasarkan soal kemanusiaan, kedua, dalam isu pendidikan, manakala yang ketika ialah soal keselamatan.

Inilah yang perlu ada sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan seorang pemimpin yang memiliki sifat Taqarrub Illalah.

Zahid adalah seorang pemimpin yang punya sifat Taqarub Illalah dengan mendidik dan melatih diri agar sentiasa menghambakan jiwa raga kepada Allah SWT.

Penulis masih teringat kata-kata beliau, oleh kerana itulah Islam menganjurkan agar pemuda dan pemudinya terdidik dengan “Jiwa Hamba” terhadap Allah dan menjadi seorang Rabbani.

“Sifat-sifat “Ubudiyyah”, ketaatan dan kepatuhan kepadaNya yang mampu menjadi kompas kehidupan ke jalan kebenaran,” katanya lagi.

Malahan sebagai seorang pemimpin yang mahu menerajui sesebuah parti politik atau organisasi, penulis percaya seseorang itu perlu menjauhi sikap buruk mencari “Personal Glory”.

Para pemimpin dalam Umno perlu menjauhkan sikap buruk seperti memenuhi kepentingan peribadi dan perlu bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap.

“Dalam kejayaan itu ada kegagalan….dan dalam kegagalan itu pasti ada kejayaan,” itu kata-kata Zahid di Ibu Pejabat Umno selepas beberapa hari keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penuh tersirat untuk diterjemahkan dan dirungkai, namun kata-kata itu telah menjadikan anak kampung Bagan Datuk ini mampu berdiri sehingga ke hari ini.

Selepas diberikan amanah menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno, tempias PRU14 menjadikan Zahid menggalas pula amanah yang cukup berat tatkala bahtera dilihat karam.

Kali ini, memegang tanggungjawab sebagai naib ketua Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden Umno.

Ahli-ahli parti perlu merenungi kepayahan, keperitan dan kesanggupan Zahid bersama Majlis Tertinggi Umno lain untuk membawa bahtera yang telah bocor sana sini, tiang yang condong kiri dan kanan malahan ada yang sudah patah, kain layar yang koyak rabak.

Tidak hairanlah juga ada anak-anak kapal yang terjun menyelamatkan diri. Siapa yang sanggup mendepani hal ini?

Inilah orangnya bernama Ahmad Zahid Hamidi yang menggalas tanggungjawab ini.

Cakap serupa bikin

Tatkala pertandingan pemilihan dibuka, antara yang terawal ialah Zahid jua kerana berasakan kebertanggungjawaban.

Perasaan itu pernah dirasai beliau sewaktu bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Kemenangan Zahid (sebagai ketua Pemuda Umno) adalah disebabkan ketokohan kepimpinan yang ada pada dirinya sendiri. Zahid dilihat oleh Pemuda Umno sebagai seorang bakal pemimpin yang memahami aspirasi perjuangan Umno.

Disebabkan itu Pemuda Umno ketika itu merasakan yang sudah sampai masanya jawatan ketua pemuda diberikan kepada pemimpin dari kalangan mereka sendiri, iaitu yang sama-sama berjuang dari peringkat akar umbi.

Dalam erti kata yang lain, keputusan pemuda jelas mahukan seorang ketua yang telah melalui proses perkilangan, pembelajaran dan perkaderan Pemuda Umno, iaitu yang tahu selok belok serta rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh semasa dalam pergerakan pemuda lagi.

Dan semua elemen ini jelas ada pada diri Zahid.

Untuk membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang `cakap serupa bikin,' Zahid mengganti biro-biro dalam pemuda Umno dengan nama baharu iaitu `majlis'.

Beliau membentuk 22 majlis yang mana usaha ini sebahagian proses untuk meramaikan barisan exco Pemuda Umno.

Sebagai ketua pemuda, selama 22 bulan walaupun tiada jawatan dalam kerajaan, tetapi dapat melaksanakan 222 buah program pemuda di seluruh negara.

Kelangsungan Umno

Usaha ini juga dilihat sebagai langkah Zahid memantapkan lagi proses perkaderan agar semua pihak dalam Pemuda Umno dapat buktikan daya kepemimpinan yang ada pada diri mereka.

Tidak mustahil Zahid akan melakukan pembaharuan dalam parti Umno secara keseluruhannya apabila diberikan mandat ahli-ahli parti kelak sebagai presiden Umno yang baharu.

Yang pasti kesanggupan kebertanggungjawaban merapatkan saf-saf dan mengajak kebersamaan sesama ahli parti tidak kira peringkat adalah petanda awal Zahid begitu bersungguh-sungguh.

Pemerhati politik juga berpandangan tidak perlu ada "on behalf" bagi satu pihak yang lain atau masih terkial-kial dalam menentukan diri sama ada bertanding atau tidak, malahan ada juga pihak yang lain cuba mengambil populariti atau pengaruh orang lain sedangkan diri itu tidak ada penyokong pun.

Dalam dunia politik, usah ditanya perjalanan beliau yang menghampiri empat dekad, di mana sepak terajang dan kemanisan sebagai seorang pemimpin politik dirasai dari akar umbi lagi.

Bakat politik Zahid mula berputik apabila dipilih sebagai ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Bagan Datuk pada 1984 dan dari sini, beliau terus mendaki tangga dalam perjuangan politik Umno peringkat nasional sehingga berjaya terpilih sebagai ketua Pemuda Umno Malaysia (1996-1999).

Kerjaya politik beliau kian menyinar apabila terpilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno selama dua penggal iaitu bagi 2000-2003 dan 2004-2007.

Zahid dipilih sebagai seorang daripada tiga naib presiden Umno selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.

Beliau telah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh sejak 1995 dan mengekalkan jawatan itu sehingga sekarang.

Zahid, satu-satunya naib presiden Umno yang diberikan “task force” yang menjalankan tugas-tugas sebagai timbalan presiden Umno dan presiden Umno.

Ahli-ahli parti Umno yang layak mengundi boleh memberi renungan seketika dalam memperhalusi perjuangan Zahid dari peringkat akar umbi dan naik satu persatu tangga perjuangan yang bukan mudah diperolehi.

Formula penerusan perjuangan Zahid sebenarnya terletak kepada undi kepercayaan ahli-ahli parti selama ini.

Fikir-fikirlah demi kelangsungan parti yang sudah melihat kesanggupan seorang pemimpin yang menerajui parti keramat ini dalam keadaan perit, kesengsaraan dan kepayahan ini.


AHMAD FAUZI MUSTAFA adalah pengarang digital, penyelidik dan wartawan sejak lebih dua dekad lalu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.