Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Budak 12 tahun lebih patriotik dari Najib
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mendermakan duit simpanannya kepada Tabung Harapan Malaysia lebih patriotik berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata ketika remaja itu melakukan apa yang terdaya untuk membantu, Najib sebaliknya bertanggungjawab menaikkan hutang dan liabiliti negara berjumlah RM1 trilion.

Ervin Devadesan, seorang pelajar tahun 6 mendermakan simpanannya kepada Tabung Harapan Malaysia pada sidang akhbar yang dipengerusikan oleh Lim dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh semalam.

Menurut Lim, Ervin sanggup mendermakan sebanyak RM214.60 wang tabungannya yang disimpan untuk mmebeli set drum bagi membantu mengurangkan hutang negara.

"Setelah membaca wawancara Najib bersama Reuters, saya menyedari bahawa hari ini adalah hari di mana seorang kanak-kanak sekolah rendah berusia 12 tahun, Ervin Devadasan, menunjukkan kepada mantan PM itu maksud sebenar patriotisme,

"Pada bila-bila masa, Ervin lebih patriotik daripada bekas PM Najib!" Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Lim mengulas temu bual Najib dengan Reuters di mana bekas perdana menteri itu mendakwa akan bertindak jika mendapat tahu dana 1MDB disalahgunakan.

Najib juga mendakwa tidak tahu daripada mana isterinya, Rosmah Mansor membeli barangan kemas termasuk "berlian merah jambu" yang didakwa dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB.

Najib berundur dari jawatan perdana menteri selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 lalu dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana terlibat dalam skandal 1MDB.

Pada masa sama, anak syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB turut disiasat oleh pihak berkuasa dari negara lain, termasuk Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Najib bagaimanapun secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam skandal berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS