Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, anak sulung menang tanpa bertanding pemilihan Umno Pekan
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 6:58 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak sulungnya Mohd Nizar menang tanpa bertanding masing-masing bagi jawatan ketua dan ketua pemuda bagi Umno Bahagian Pekan.

Anggota jawatankuasa bahagian Abdul Rahmi Yahya mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Najib menang jawatan itu tanpa bertanding, sementara kemenangan Mohd Nizar dilaporkan agensi berita Bernama.

Mohd Nizar, 40, menggantikan Shahruddin Ahmad, yang melepasi tahap umur maksimum bagi Pemuda Umno.

Dia berikrar untuk mengembalikan parti itu ke zaman kegemilangannya dan berkata akan menghapuskan politik wang.

"Mereka (perwakilan) begitu komited dan membuktikan parti Umno masih relevan... apa yang perlu dilakukan kini ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala yang negatif selain cuba memenangi kembali hati anak muda,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa 73 daripada 191 ketua bahagian parti itu menang tanpa bertanding.

Jumlah itu termasuklah Najib dan Mohd Nizar dan yang bertanding buat kali pertama.

"Daripada 191 ketua bahagian, 73 menang tanpa bertanding.

"Ini merupakan bukti bahawa demokrasi dijalankan dengan baik dan anggota menganggap sesetengah pemimpin tidak perlu dicabar," katanya pada sidang media yang diadakan di PWTC.

Ahmad Zahid tidak mendedahkan senarai penuh namun mengesahkan bahawa beliau berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno Bagan Datoh.

Sayap Umno mengadakan pemilihan hari ini, sementara pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti itu akan diadakan 30 Jun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS