Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

WAWANCARA | Dua puluh tahun sebelum lahirnya 'Malaysia Baru', Indonesia terlebih dahulu mengalami perubahan politik apabila Reformasi berjaya meruntuhkan Orde Baru pimpinan Suharto yang berkuasa sejak 1966.

Sejak itu, Indonesia melalui perkembangan demokrasi yang pesat yang antara lain menyaksikan kembalinya kebebasan akhbar dan bersuara.

Bagaimanapun sekumpulan ahli politik muda republik itu merasakan ada satu kekurangan apabila pemerintah selepas itu gagal membawa Suharto - bekas jeneral yang merampas kuasa daripada presiden pertama, Sukarno - ke muka pengadilan atas segala dakwaan salah guna kuasa dan korupsi sepanjang 32 tahun di tampuk kuasa.

Justeru situasi di Malaysia kini menarik perhatian ramai di Indonesia untuk mengikuti perkembangan selepas jatuhnya BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Kita menunggu (pembaharuan politik Malaysia) kerana Indonesia gagal mengheret Suharto ke muka pengadilan... Dia sakit dan seterusnya meninggal (pada Januari 2008)," kata Ketua Umum Parti Solidariti Indonesia (PSI) Grace Natalie dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perubahan politik di Malaysia berdasarkan pengalaman Indonesia 20 tahun lalu.

Katanya, pengundi Malaysia berjaya melaksanakan misi sukar menumbangkan BN yang disifatkannya sebagai "regim korup" yang berkuasa selama enam dekad.

"(Malah) Ia berlaku dengan damai. Di Indonesia berlaku pertumpahan darah, huru-hara di mana-mana (ketika Reformasi). Jadi kita salute dengan Malaysia," kata bekas wartawan dan pembaca berita itu lagi.

Najib tular di Indonesia

Grace menyebut salah satu perkara yang amat menarik perhatian warga Indonesia ialah tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkongsi kisah betapa berita penggeledahan di hartanah berkaitan Najib menjadi tular di negara itu dan ramai yang terkejut dengan barang yang dirampas polis.

"Sehingga ada yang bertanya ia benar atau diedit kerana begitu banyak sekali rampasannya," katanya.

Selepas PRU ke-14, polis mengadakan serbuan di beberapa hartanah berkaitan Najib antaranya tiga kondominium mewah di Pavilion Residences, Kuala Lumpur.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh mendedahkan nilai barangan yang dirampas berjumlah RM686.37 juta, termasuk wang tunai RM116.7 juta dan barang kemas bernilai RM440 juta.

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, Najib menjelaskan bahawa barang yang dirampas itu kebanyakannya "hadiah" dan mempertikaikan nilai rampasan yang menurutnya "subjektif dan tidak realistik."

Sementara itu, mengambil kira kesukaran Indonesia untuk membawa Suharto ke mahkamah, Grace berkata mereka menantikan perkembangan selanjutnya - adakah pembaharuan di Malaysia akhirnya akan membawa dakwaan salah laku kerajaan terdahulu Malaysia ke muka pengadilan.

"Pastinya bukan perkara mudah, sesuatu yang sudah berjalan 60 tahun pengaruhnya di mana-mana (dan sukar diubah)... Apakah orang yang bertanggungjawab akan mendapat hukuman?

"Ini pasti akan memberi kesan kepada Indonesia sebagai negara tetangga," katanya lagi.

Menurut laporan, pada Julai 2000 Suharto akan didakwa kerana menyeleweng wang kerajaan berjumlah AS$571 juta yang ditujukan buat beberapa yayasan yang dinaunginya. Beliau didakwa menggunakan wang tersebut untuk pelaburan keluarga.

Dua bulan kemudian, beliau diisytiharkan tidak mampu menjalani perbicaraan di mahkamah berikutan masalah kesihatan.

Pada Mac 2008, mahkamah sivil membebaskannya daripada dakwaan rasuah tetapi mengarahkan yayasan kebajikannya, Supersemar, untuk membayar pampasan AS$110 juta.

Melihat kembali Indonesia

Sepanjang lima hari di Malaysia, Grace bersama delegasi PSI mengadakan pertemuan dengan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) antaranya DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

"Kami takjub dengan politik Malaysia hari ini, begitu ramai anak muda terlibat dalam politik termasuk menjadi anggota parlimen," katanya.

Grace menambah bahawa kejayaan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang menjatuhkan BN harus membuatkan negaranya berusaha mengukuhkan demokrasi dan akar kepelbagaian masyarakatnya.

"Indonesia dulu dikatakan demokrasi terbaik di Asia Tenggara tetapi hari ini kedudukan itu merosot kerana maraknya intolerans," katanya.

Beliau merujuk kepada sentimen agama dalam politik yang dimainkan terutama dalam kempen menolak Basuki Tjahaja Purnama, atau Ahok, yang bukan beragama Islam dalam pemilihan gabenor Jakarta pada tahun lalu.

Kempen itu dipelopori Front Pembela Islam (FPI) dengan kemuncaknya sejumlah 500,000 berhimpun di Monumen Nasional Jakarta bagi mendesak penahanan Ahok atas dakwaan menghina Islam.

"Semakin banyak orang bersifat radikal. Jika mereka ada dalam institusi penting untuk membuat undang-undang yang berpihak kepada golongan tertentu, ia akan menjadi ancaman serius," katanya lagi yang akan memimpin PSI menempuhi pemilihan umum buat pertama kali sejak penubuhannya pada 2014.

Lihat Komen
ADS