Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalah pemilihan, Shahar dilantik ketua penerangan pemuda Umno
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 9:04 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah yang kalah dalam perebutan jawatan ketua pemuda parti itu kepada bekas menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada bulan lalu, kini dilantik menjadi Ketua Penerangan Pemuda Umno pusat.

"Dengan rasa insaf dan rendah diri saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan Umno, khususnya Ketua Pemuda Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas kepercayaan untuk melantik saya memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia yang baharu.

"Meskipun dalam Pemilihan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini tidak memihak kepada saya, tidak pernah saya menyimpan walau sekelumit perasaan amarah atau kecewa terhadap parti kerana sesungguhnya sifat kekeluargaan yang menebal dalam Umno melebihi segala kedudukan dan jawatan yang dipertandingkan," kata Shahar yang juga Anggota Parlimen Paya Besar itu dalam suatu kenyataan malam tadi.

Beliau menang di kerusi Paya Besar dalam pilihan raya umum lalu menewaskan calon PAS dan PKR pada PRU14.

Shahar menyifatkan pelantikannya sebagai mesej Umno sedang melakukan pembaharuan.

"Pelantikan ini juga bagi saya adalah satu manifestasi yang memberi mesej bahawa Umno sedang melakukan pembaharuan di peringkat dalaman demi merealisasikan kehendak rakyat yang ingin parti ini berubah dengan arah tuju yang lebih dinamik," katanya.

Dalam pertandingan pemilihan parti itu Shahar mendapat tempat ketiga dengan sokongan 56 bahagian Umno, tertinggal di belakang senator Khairul Azwan Harun dengan 58 undi bahagian.


 

Lihat Komen
ADS