Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno cadang 4 nama calon PRK Sg Kandis
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 8:43 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Umno Selangor menghantar empat nama bagi calon pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis kepada pimpinan tertinggi parti.

Menurut Berita Harian, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berkata calon-calon tersebut merangkumi pimpinan lama dan baru, serta ada juga wanita.

Beliau berkata senarai itu akan diserahkan kepada presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk penilaian akhir.

"Semalam saya jumpa presiden (Ahmad Zahid) dan bincang dari hati ke hati, saya serahkan rumusan hasil perbincangan Umno Selangor dan keputusan adalah di tangan presiden.

"Umno Selangor juga setuju menggunakan logo Umno pada PRK ini, namun semua bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya seperti dipetik.

Beliau berkata pihaknya juga akan mematuhi keputusan pimpinan jika meletakkan bukan pemimpin sebagai calon, mahupun pemimpin luar pada PRK itu.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada calon tidak kira siapa pun yang diputuskan parti kelak, kita juga akan tampil dengan tema baru ketika berkempen iaitu undi Umno jika mahu kerajaan HARAPAN menunaikan janji," katanya lagi.

Beliau menegaskan akan hanya memegang jawatan pengerusi badan perhubungan negeri sehingga Ahmad Zahid mengumumkan pengganti yang baru.

"Yang pasti bukan saya, saya sudah gagal memimpin BN Selangor pada PRU lalu. Saya beri peluang kepada orang baru yang ada pendekatan lebih baik berbanding saya untuk mengisi tempat ini," katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian ADUN kawasan itu Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

Suruhanhjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 21 Julai bagi penamaan calon dan 4 Ogos bagi hari mengundi.

Lihat Komen
ADS