Bukit Aman: Tiada permohonan ekstradisi terhadap Zakir Naik
Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman mengesahkan tiada sebarang permohonan ekstradisi dibuat oleh kerajaan India terhadap pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik.
Surat pengesahan bertarikh 13 Julai itu ditandatangani oleh ACP Mohamad Fahmi Visuvanatah Abdullah bagi pihak bahagian perundangan Bukit Aman itu dan ia kemudiannya dikongsi oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz di Facebook beliau Buzz Azam hari ini.
"Untuk makluman tuan, pejabat ini telah membuat semakan dan mendapati tiada sebarang permohonan ekstadisi dibuat oleh kerajaan India terhadap anak guam tuan sehingga kini.
"Mohon pihak tuan untuk membuat semakan di Jabatan Peguam Negara dalam perkara ini," petik kenyataan dalam surat berkenaan.
Sehubungan itu, menurut Mohd Khairul Azam, tiada sebarang isu berkaitan penghantaran balik pendakwah bebas itu relevan untuk dibincangkan buat masa ini.
Sebelum ini, isu Zakir mendapat perhatian umum apabila Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, P Ramasamy yang juga adalah timbalan ketua menteri II Pulau Pinang mendesak kerajaan agar menghantar pulang pendakwah itu ke India.
Malah, beliau turut mengingatkan agar kerajaan Malaysia agar menghormati perjanjian ekstradisi dengan India dan tidak melindungi penjenayah.
Zakir berdepan dakwaan mahkamah di India atas kesalahan pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Pada 13 Julai lalu, melalui satu e-mel kepada Malaysiakini, jurucakap Menteri Hal Ehwal Luar India Shri Raveesh Kumar juga mendakwa kerajaan India telah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisi Zakir pada Januari tahun lalu.
Raveesh menambah kerajaan India berhubung rapat dengan rakan sejawat mereka di Malaysia dalam mengikuti perkembangan Zakir yang kini mendapat status penduduk tetap di negara ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia tidak akan "tunduk" kepada desakan untuk menghantar Zakir ke India memandangkan dia tidak mempunyak kes jenayah di negara ini.

