Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

GLOBAL | Amerika Syarikat (AS) memberi amaran sekatan ekonomi akan dikenakan, jika Turki tidak membebaskan paderi Andrew Brunson yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa, lapor agensi berita Xinhua pada Khamis.

Amaran itu disuarakan Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence dan Turki perlu segera bertindak atau bersedia berdepan akibatnya.

Sebelum itu, Presiden Donald Trump menerusi twitternya menulis "Turki perlu membebaskan Brunson, penahanan paderi itu satu perbuatan "amat memalukan".

Paderi berusia 50 tahun itu ditahan dua tahun lalu atas tuduhan mengintip, dan berdepan hukuman sehingga 35 tahun penjara jika didapati bersalah.

Sebuah mahkamah Turki pada Rabu memutuskan memindahkannya dari penjara kepada tahanan di rumah berikutan masalah kesihatan. Bagaimanapun, Brunson tidak dibenarkan meninggalkan Turki.

Pihak berkuasa Turki menuduh beliau melakukan pengintipan dan mempunyai hubungan dengan rangkaian yang diketuai Fethullah Gulen dan Parti Pekerja Kurdistan.

Ankara menuduh Gulen dan rangkaiannya menjadi dalang rampasan kuasa yang gagal terhadap Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan kerajaannya pada 2016.

Namun, Gulen menafikan semua tuduhan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS