Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: MCA dan MIC patut 'tutup kedai'
Diterbitkan:  Jul 30, 2018 1:38 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

PRK SG KANDIS | Dua parti komponen BN disarankan supaya "tutup kedai" kerana gagal menyatakan pendirian masing-masing terhadap pencalonan Datuk Lokman Noor Adam bagi mewakili mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

Dalam satu kenyataan hari ini pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata beliau sudah tiga kali bertanya kepada MCA dan MIC sama ada mereka mahu Lokman menang atau kalah dalam PRK berkenaan.

"Sekarang PAS secara rasmi menggesa ahlinya menyokong Lokman.

"Saya bertanya lagi kepada pemimpin MCA dan MIC untuk kali keempat dan terakhir.

"Dalam tempoh enam hari ini adakan mereka mahu Lokman menang atau kalah dalam PRK Sungai Kandis?" katanya dalam satu kenyataan.

Lokman ialah bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang sudah dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan.

Pernah menjadi aktivis gerakan reformasi, Lokman kemudian menyertai Umno. Pada sesetengah waktu kemunculan Lokman, 45, dilihat kontroversi kerana keras bercakap mengenai bangsa Melayu.

Tak dilihat terlibat

Bagaimanapun Lokman menafikan dia seorang rasis.

Untuk rekod kelmarin PAS membuat kenyataan terbuka menggesa anggota parti itu di Sungai Kandis memenangkan Lokman.

Antara lain PAS berkata kemenangan Lokman menjadi mesej kepada HARAPAN bahawa rakyat menolak mereka.

“Untuk PRK Sungai Kandis, kita perlu mengambil satu sikap yang menguntungkan Islam dan ia mengajar kita menolak kerosakan lebih baik daripada mendapat nasihat.

“Kerosakan telah ditunjukkan oleh HARAPAN walaupun dua bulan memerintah sama ada dari segi agama, ekonomi, sejarah yang diputar belit, raja-raja dihina, bahasa Melayu dipinggirkan dan ia adalah kerosakan kepada negara," katanya.

Daripada lebih 50,000 pengundi di Sungai Kandis, 72 peratus ialah Melayu, 12 peratus Cina, 16 peratus India dan 1 peratus bangsa lain.

Pada PRU ke-14 lalu calon PAS memperoleh 7,573 undi.

Semakan Malaysiakini mendapati tidak banyak bukti menunjukkan MCA dan MIC terlibat dalam kempen di Sungai Kandis berbanding PRK yang lain.

Menurut anggota parlimen Iskandar Puteri itu tanpa jawapan yang jelas MCA tidak layak meletakkan calon mereka dalam PRK Balakong pada 8 Sept ini jika parti terbabit masih gagal menyatakan pendirian mereka terhadap Lokman.

"MCA dan MIC patut tutup kedai saja, dan MCA tidak wajar bertanding dalam PRK Balakong nanti jika pemimpin mereka tidak berani untuk menyatakan sama ada mereka mahu calon Umno menang atau kalah di Sungai Kandis," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS