Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'HARAPAN dah jadi kerajaan, tak patut takut Utusan'

Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak perlu lagi "takut" kepada Utusan Malaysia kerana mereka kini sudah menjadi kerajaan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana akhbar milik Umno itu kini memberi lebih ruang kepada HARAPAN selaku kerajaan baru, pada masa sama tetapi adil kepada BN sebagai pembangkang.

"Mereka sudah jadi kerajaan, sepatutnya tak perlu lagi (sekat Utusan). Apa yang nak ditakutkan," katanya yang juga pengerusi BN Selangor kepada pemberita ketika kempen calon BN PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau mengulas tentang memo Kementerian Pendidikan yang mengarahkan semua sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasanya untuk menghentikan langganan terhadap Utusan berkuatkuasa serta-merta.

Ismail berkata, arahan untuk menghentikan langganan Utusan secara tidak langsung menyekat kebebasan akhbar.

Beliau juga berkata ia menunjukkan HARAPAN masih berkelakuan seperti pembangkang.

Mengakui HARAPAN memang sentiasa menentang akhbar itu, Ismail berkata sikap itu sepatutnya berubah selepas menjadi kerajaan.

"Laporan yang tidak menyokong mereka akan dianggap musuh, henti beli (akhbar tersebut).

"Kalau mereka betul-betul kerajaan yang terbuka, beri peluang kepada semua (kakitangan kementerian pelajaran) untuk baca...Utusan, Berita Harian, The Star.

"Biar mereka baca dan nilai sendiri," kata anggota parlimen Bera itu lagi.

Memo tersebut bertarikh 18 Julai dan dihantar oleh penasihat khas menteri pendidikan, Wan Saiful Wan Jan kepada ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Mohd Ghazali Abas.

Ketika ditemui pemberita di parlimen, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata langkah itu sebahagian daripada penjimatan memandangkan berita kini boleh dibaca secara atas talian.

Bagaimanapun beliau berkata tidak tahu akan memo tersebut dan akan menyemak perkara itu dengan penasihat khasnya.

Lihat Komen
ADS