PEMILIHAN PKR |  Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman percaya gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai presiden dan timbalan presiden parti itu adalah suatu yang serasi.

Sebagai "parti terkuat" dalam Pakatan Harapan, Mansor berkata PKR memerlukan kepimpinan yang berwibawa.

"Justeru gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalan presiden adalah gandingan yang paling ideal dalam kerangka politik pada masa kini.

"Ini kerana parti bukan sekadar akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman tapi juga cabaran luaran," kata beliau pada suatu kenyataan media hari ini.

Mansor berkata PKR memerlukan pemimpin berpengalaman yang setia dan memiliki rekod perkhidmatan bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut.

Spekulasi Azmin cabar Anwar

Pemilihan PKR kali ini dijangka hangat susulan spekulasi Azmin mungkin akan mencabar Anwar bagi jawatan presiden parti.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berjanji akan mendedahkan rancangan beliau selepas pilihan raya kecil Sungai Kandis esok.

Beliau juga dituduh cenderung kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya yang didakwa mahu menghalang Anwar daripada mengambil alih kepimpinan negara.

Azmin pernah menjadi setiausaha politik Anwar dan ikut bersama ketua umum PKR itu selepas perseteruan Anwar dengan Mahathir pada 1998.

Bagaimanapun, Azmin menolak dakwaan berkenaan dan berkata beliau tetap setia kepada pengasas PKR itu.

Mahathir juga telah menyangkal dakwaan campur tangan dalam pemilihan PKR.

Jika Azmin memutuskan untuk mempertahan jawatan timbalan presiden, beliau akan berhadapan dengan naib presiden sekarang Rafizi Ramli yang dikenali sebagai pro-Anwar dan menyertai PKR selepas meneladani gerakan reformasi.

'Ahli politik lawan reformis'

Rafizi menyatakan kemungkinan pertarungannya dengan Azmin sebagai pertandingan antara "seorang ahli politik dan reformis."

Namun demikian, Mansor memaklumkan Azmin berada di barisan hadapan dalam perjuangan reformasi dari 1998 sehingga kini.

"Ketika peristiwa 1998, beliau bukan sahaja berjuang habis-habisan malah terus setia dalam perjuangan sehingga kini sedangkan dalam masa yang sama ramai tokoh lain memilih untuk membina kerjaya dan tidak kurang yang mengkhianati perjuangan.

Katanya, sementara orang lain memfokuskan untuk membina kerjaya atau mengkhianati perjuangan, Azmin kekal setia kepada Anwar.

"Beliau bukan sahaja cemerlang dalam parti malah kepimpinannya terbukti berjaya ketika memimpin Negeri Selangor sehingga diangkat menjadi menteri kanan dalam kabinet Pakatan Harapan.

"PKR Pulau Pinang mengulangi pendirian menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan dalam masa yang sama menyakini bahawa regu terbaik bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden.

"Sinergi dua orang tokoh ini telah terbukti berjaya membawa agenda reformasi dan merupakan gandingan terbaik untuk memimpin Malaysia Baru," katanya.