Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan parti yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada pilihan raya umum lalu mempunyai peluang untuk bertanding semula pada pilihan raya kecil (PRK) itu nanti.

Timbalan perdana menteri bagaimanapun berkata HARAPAN masih belum membincangkan mengenai perkara itu.

“Kita belum bermesyuarat. Lazimnya (di) Seri Setia, parti yang bertanding akan mempunyai peluang untuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas ceramah mega akhir sempena PRK Sungai Kandis, malam tadi.

Anggota parlimen Pandan itu diminta mengulas sama ada kerusi DUN Seri Setia akan diserahkan kepada parti lain dalam komponen HARAPAN.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin, Rabu lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) Shahruddin memenangi kerusi Seri Setia dengan memperoleh majoriti 29,250 undi.

Beliau mengalahkan calon BN, Yusoff M Haniff yang memperoleh 9,878 undi, calon PAS dengan 4,563 undi dan calon bebas S Vigneswaran dengan 217 undi.

Terdahulu, Pengerusi Pilihan Raya HARAPAN Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata bendera dan logo HARAPAN akan digunakan pada PRK Balakong dan Seri Setia serta semua pilihan raya akan datang.

Katanya, perkara itu juga diberi kebenaran oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Jadi, ini (bendera PKR) adalah nostalgia untuk kita dan kali ini ialah kali terakhir kita akan guna bendera PKR pada pilihan raya ini (Sungai Kandis).

“Selepas ini, logo Pakatan (HARAPAN) akan digunakan,” katanya.