DAP tidak ada hubungan dengan International Republican Institute (IRI) atau Parti Republikan di Amerika Syarikat, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

"Parti Republikan bukan sahabat kepada DAP jadi mereka pastinya tidak ada hubungan dengan kami.

"Kami sangat kritikal terhadap Parti Republikan, terutama pemimpinnya seperti (Presiden AS) Donald Trump.

"Ini sesuatu yang baru untuk saya, (kami) tidak ada hubungan (dengan IRI)," kata beliau ketika ditanya dalam sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Bulan lalu, IRI memberitahu sebuah forum ia cuba 'mengukuhkan' parti pembangkang Malaysia semenjak tahun 2002 lagi.

Walaupun kumpulan itu berkata tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia, ia menyebut pentadbiran Pakatan Harapan mendatangkan manfaat kepada Washington.

Latihan kepimpinan

Pemimpin PKR mengaku bahawa ahli politik HARAPAN sebelum ini menghadiri latihan kepimpinan IRI tetapi menafikan sesi berkenaan bertujuan untuk menggulingkan BN.

Menurut Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, ahli politik Gerakan turut serta dalam latihan berkenaan.

IRI merupakan badan gabungan dengan Parti Republikan di AS dan lembaga pengarahnya setakat dua hari lalu dipengerusikan Senator John McCain.

Institut itu merupakan salah satu daripada kumpulan yang didanai oleh National Endowment for Democracy (NED) yang mendapat dana daripada Kongres AS.

Pada masa lalu, IRI didakwa melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa di negara seperti Honduras, Haiti, Cuba, Egypt dan Tunisia.

[Baca berita penuh]