DOJ tangguh prosiding kes Equanimity di mahkamah AS
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) hendak menangguhkan prosiding di mahkamah AS berkaitan kapal layar mewah Equanimity.
Ini sementara menunggu siasatan rasmi bagi mengetahui apa yang kerajaan Malaysia berhasrat lakukan terhadap kapal itu.
"Kerajaan (AS) telah mengetahui bahawa kapal layar defendan telah diserahkan oleh pemerintah Indonesia kepada kerajaan Malaysia, dan telah meninggalkan perairan Indonesia. Kerajaan faham bahawa waran diperolehi di Indonesia memberikan kuasa perolehan.
"Kerajaan mencadangkan agar semua prosiding dalam tindakan ini ditangguhkan untuk memberikan kerajaan dan penuntut kapal untuk bertanya kepada Malaysia melalui saluran rasmi apa tujuannya berkenaan dengan kapal layar defendan," kata DOJ dalam notis yang difailkan di Mahkamah Daerah California Tengah pagi ini (kira-kira pukul 12.45 malam semalam, waktu California).
DOJ mencadangkan bahawa ia dibenarkan melaporkan kembali ke mahkamah berhubung penemuannya pada 17 Ogos.
DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas kapal bernilai AS$ 250 juta itu pada 15 Julai tahun lepas dengan mendakwa ia dibeli menggunakan wang hasil penyelewengan 1MDB yang disalurkan menerusi sistem kewangan AS.
Walaupun saman itu masih belum selesai, DOJ mendapat perintah perlindungan dari California untuk membawa kapal itu kembali ke perairan AS bagi memudahkan penjualan interlokutori kapal itu.
Dijual dengan persetujuan
Ini bermakna kapal itu akan dijual dengan persetujuan pihak lain dalam saman tersebut, manakala kedua-dua pihak terus berbincang mengenai siapa yang harus menyimpan wang hasil jualan itu.
Ini termasuklah jika pihak yang menuntut mempertikaikan di mana dan bagaimana jualan harus dijalankan dan bagaimana kapal itu harus diuruskan dalam masa yang sama.
Rayuan terhadap perintah perlindungan tahanan masih belum selesai di Mahkamah Rayuan AS.
Bagaimanapun, pemerintah Indonesia menyerahkan kapal layar berkenaan kepada kerajaan Malaysia semalam dan ia dijangka tiba ke Pelabuhan Klang di bawah iringan polis tengahari ini.

Semalam menteri kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan Malaysia bercadang menjual Equanimity selepas semua dokumen berkenaannya selesai dan juga kemungkinan pameran awam terhadap kapal pesiar mewah itu.
DOJ dalam notis terbarunya mendakwa penyerahan kapal berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia memberi kesan terhadap bidang kuasa mahkamah California terhadap kapal berkenaan.
Peguam kepada Low Taek Jho, James F Haggerty, pula berkata penyerahan itu menunjukkan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berminat terhadap proses yang sepatutnya.
"Tindakan haram rejim Mahathir hari ini, tanpa menghiraukan keputusan mahkamah dalam pengadilan di AS dan Indonesia, membuktikan dia tidak berminat terhadap proses yang adil dan sepatutnya.
"Pemilik kapal layar, Equanimity Cayman Limited, telah pun memfailkan satu tuntutan atas aset ini, yang diabaikan Mahathir. Prosiding selanjutnya telah dikeluarkan hari ini sebagai respons terhadap tindakan haram ini.
"Mahathir telah memilih untuk membawa aset itu secara tidak sah ke dalam sistem Malaysia yang dicerobohi oleh seorang individu yang hanya peduli dengan pemerintahan politik mutlaknya. Akhirnya keadilan diabaikan," kata Haggerty dalam satu kenyataan semalam.
Equanimity Ltd didakwa oleh DOJ sebagai firma perantara untuk Jho Low.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.