Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari Abdul anggap Anwar abang kandung, sanggup lepaskan kerusi

PARLIMEN | Anggota Parlimen PKR Datuk Johari Abdul berkata beliau bersedia mengosongkan kerusi parlimen yang disandangnya bagi memberi laluan kepada Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

"Saya sangat sayangkan beliau, Anwar macam abang kandung (buat saya)," katanya memberitahu media ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Pada 31 Julai, Anwar memberi gambaran satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan untuk beliau kembali ke parlimen.

Isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata tidak akan mengosongkan kerusi mereka.

Semalam, Anggota Parlimen Selayang William Leong berkata beliau bersedia untuk mengosongkan kerusinya.

Johari dikatakan sanggup berkorban untuk Anwar berdasarkan mesej yang menjadi tular dalam media sosial.

"Semua orang boleh menulis ini, tetapi ia tidak benar (mengenai mesej media sosial)," katanya.

Anwar belum panggil

"Kami masih belum membincangkannya, jika beliau (Anwar) memanggil saya, saya akan membuat keputusan, tetapi beliau tidak memanggil saya," katanya.

Apabila ditanya ramai MP PKR dikatakan tidak bersedia untuk mengosongkan kerusi mereka, beliau berkata, "Saya berbeza daripada mereka yang tidak mahu itu."

Beliau berpendapat bahawa pengundi Sungai Petani akan menerima keputusannya kerana mereka akan mendapat seorang pemimpin yang hebat sebagai balasannya.

Masa terbaik untuk Anwar bertanding dalam pilihan raya adalah sebelum 31 Disember dan bergantung kepada kesihatan Anwar, katanya.

Anwar dijangka menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau berundur kelak.

Sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei, HARAPAN berkata Mahathir akan mempimpin negara selama dua tahun sebelum melepaskan pentadbiran kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, Mahathir kemudiannya berkata beliau mungkin memimpin lebih lama, jika rakyat memintanya berbuat demikian.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS