Berita Malaysiakini

Pemilihan PKR: Anwar tak mahu terheret dalam persaingan 2 kem

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan terperangkap di tengah-tengah pertembungan kem dua calon timbalan presiden Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya tidak berhasrat untuk terheret oleh individu atau pihak yang bertanding dalam parti kerana (pemilihan) ini dilakukan atas semangat demokrasi," katanya semasa sidang akhbar di pejabat barunya di Petaling Jaya hari ini.

"Satu-satunya peringatan adalah agar mereka (calon) mematuhi peraturan dan etika, prosedur tidak membeli undi, tiada ugutan dan fitnah...kerana ini bertentangan dengan prinsip parti kita," katanya yang bakal menjadi presiden PKR tidak lama lagi.

Anwar diminta mengulas laporan yang mendakwa beliau menggunakan Rafizi untuk mendesak pelantikannya sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jika anda faham Rafizi sebagai intelektual awam, dia tidak akan terlalu mudah disuruh oleh mana-mana personaliti.

"Dia ada pandangan sendiri, ada yang saya setuju, ada yang tidak," katanya lagi.

Beberapa pemimpin PKR yang dikaitkan dengan Rafizi sebelum ini mendakwa wujudnya komplot melibatkan Azmin dan disokong Mahathir untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri dalam masa dua tahun.

Mereka berkempen kemenangan mereka - dengan mengalahkan kem Azmin - akan menjamin Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Antaranya Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid yang bertegas mahukan Anwar dilantik dalam tempoh masa itu, berdasarkan konsensus parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum PRU ke-14.

'Sangat, sangat sabar'

Anwar bagaimanapun menepis tanggapan yang beliau tidak sabar untuk menjadi perdana menteri.

"Pihak yang terdesak akan sentiasa menggunakan hujah ini.

"Sejak 1998 orang kata Anwar akan jadi perdana menteri," katanya merujuk penyingkirannya daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno yang mencetuskan gerakan Reformasi dan seterusnya, PKR.

"Selama 20 tahun. Saya pasti saya sangat, sangat sabar untuk tunggu 20 tahun," katanya lagi.