Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS galak penduduk Seri Setia keluar mengundi

PRK SERI SETIA | Media sosial antara pendekatan yang akan digunakan oleh PAS untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 8 September ini.

Calon PAS bagi PRK itu, Dr Halimah Ali berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi supaya tidak menjadi seperti PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas, yang peratusan keluar mengundi gagal mencecah 50 peratus.

Peratusan itu jauh lebih rendah daripada sasaran 80 peratus yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Sasaran kita (PAS) adalah pengundi di bawah umur 40 tahun kerana kira-kira 37 peratus pengundi terdiri daripada golongan tersebut," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Apartmen Seri Menanti di Petaling Jaya, hari ini.

Pada PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah menghadapi pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar.

Kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Menurut Dr Halimah, PRK berkenaan adalah sangat penting dan akan menjadi ‘thermostate’ kepada kerajaan HARAPAN sama ada penduduk di DUN itu boleh menerima baik mereka selepas tiga PRK diadakan dalam tempoh 100 hari HARAPAN mentadbir negara.

Selain PRK DUN Seri Setia, PRK DUN Balakong akan diadakan serentak pada 8 September ini susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Mengulas tentang program Ziarah Kasih, bekas anggota exco kerajaan Selangor itu berkata ia bertujuan memperkenalkan diri beliau selain beramah mesra dengan masyarakat setempat terutama golongan miskin.

“Pada program ini saya dapat menziarahi serta melihat keadaan orang miskin dan orang sakit, seperti sakit jantung atau selepas menjalani pembedahan, dalam suasana kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha esok," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS