Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Nazmi: Peraturan baru kempen parti tidak praktikal

Peraturan baru seperti menghalang calon pemilihan PKR daripada mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang adalah tidak praktikal, kata calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Justeru, katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan rakan-rakannya dan mungkin menimbulkan bantahan kepada jawatankuasa pemilihan pusat.

“Kita mungkin bangkitkan isu itu sebab ia melibatkan 800,000 anggota. Jadi saya ingat kalau nak buat 100 orang dan closed door (secara tertutup) agak tidak praktikallah.

“Yang lain itu saya ingat tak ada masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidiladha bersama penduduk di PPR Kampung Air Panas, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa diminta mengulas mengenai laporan Malaysiakini hari ini berhubung garis panduan berkempen baru yang dikeluarkan oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

Antara lain, calon tidak dibenarkan mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang dan dilarang menggunakan imej berkumpulan dalam bahan kempen.

Calon yang melanggar peraturan baru ini berdepan risiko tindakan tatatertib atau disingkirkan daripada bertanding dalam pemilihan parti sama sekali.

Pada pemilihan PKR kali ini, Nik Nazmi yang adalah ketua pemuda (AMK) tidak akan mempertahankan jawatannya tetapi bertanding di peringkat MPP. Beliau juga menyokong Rafizi Ramli yang bertanding menentang Datuk Seri Mohd Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden.

Rafizi dalam suratnya bertarikh 20 Ogos lalu mendakwa peraturan baru itu bakal melumpuhkan kempennya kerana beliau adalah satu-satunya calon yang memberi taklimat langsung kepada anggota di peringkat akar umbi.

Beliau juga membentuk pasukannya untuk pemilihan PKR itu, dengan alasan MPP sekarang menentangnya.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata peraturan baru itu adalah membabitkan semua calon dan bukan menyasarkan Rafizi.

Lihat Komen
ADS