Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Perak tak tergesa-gesa tamat kontrak lantikan politik
Diterbitkan:  Aug 25, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Harapan tidak terburu-buru untuk memberhentikan individu yang menerima jawatan termasuk dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui lantikan politik pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya mengambil pendekatan yang lebih rasional dengan memikirkan kesan kepada syarikat terlibat.

"Jika seseorang yang telah dilantik masih mempunyai kontrak contohnya sehingga hujung tahun ini, tidak perlu disegerakan (diberhentikan) jangan terlalu tergesa-gesa dan jangan kita hukum sesiapa tanpa lihat keupayaan seseorang itu.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab saya perlu berhati-hati jangan sampai ia mengakibatkan kerugian kepada syarikat contohnya kalau saya batalkan kontrak, syarikat terpaksa membayar baki elaun dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Tapah hari ini.
 

Semalam Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Muhamad Alif Asyraf Bin Abdull Rahim menggesa individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik kerajaan terdahulu mengundur diri secara terhormat daripada barisan pentadbiran.

Beliau mendakwa individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik kerajaan terdahulu​​​​​​ masih memegang jawatan sekurang-kurangnya di 23 GLC dan dua perbadanan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata pelantikan bagi jawatan penting seperti di dalam GLC telah selesai distruktur.

"Jawatan yang besar seperti Ketua Pegawai Eksekutif telah selesai cuma lantikan kepada anak syarikat yang tiada perniagaan dan mereka hanya terima elaun mesyuarat saya fikir itu tak perlu tergesa-gesa," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS