Siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung dakwaan campur tangan hakim kanan dalam kes berprofil tinggi melibatkan penukaran agama sepihak anak-anak M Indira Gandhi dan kes membabitkan mendiang Karpal Singh.

Dalam satu kenyataan di pejabatnya, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mengambil perhatian mengenai perkara itu dan menyatakan "siasatan dalaman sedang dilakukan setelah kenyataan media mengenai kedua-dua kes tersebut dikeluarkan."

"Ketua hakim akan mengambil tindakan yang tepat setelah hasil siasatan diperoleh," kata kenyataan itu.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer awal bulan ini mendakwa ditegur oleh seorang hakim kanan kerana menulis penghakiman bertentangan dua tahun yang lalu dalam hal penukaran agama anak-anak Indira.

Hamid menulis, antara lain, bahawa penukaran agama kanak-kanak berkenaan adalah tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran ibu mereka.

Akibatnya, Hamid mendakwa telah dikenakan tindakan apabila tidak dibenarkan mendengar kes-kes berkaitan kepentingan awam dan perlembagaan.

Kes kedua membabitkan laporan polis dibuat Sangeet Kaur Deo, anak mendiang Karpal Singh yang mendakwa terdapat campur tangan oleh seorang hakim kanan mengenai keputusan rayuan kes hasutan bekas pemimpin kanan DAP itu pada tahun 2016.

Ia susulan laporan media yang memetik peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai berkata, hakim yang tidak dinamakan itu telah campur tangan terhadap keputusan majoriti untuk membenarkan rayuan Karpal dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Berita campur tangan berkaitan kedua-dua kes mahkamah itu mengundang gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau tribunal ditubuhkan.

Polis hari ini dilapor telah menyoal siasat Haniff berkaitan kes Karpal.