Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tak pernah bincang gugur tuduhan Guan Eng, kata sumber

EKSKLUSIF | Keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dakwa beberapa sumber.

Sumber berkenaan yang termasuk pegawai penyiasat kanan suruhanjaya itu turut memberitahu Malaysiakini, peguam Lim tersilap dalam mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

"Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Datuk Seri Shukri (Abdul) tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan itu.

"(Mohd) Masri (Daud) juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah timbalan pendakwa raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Beliau (Masri) tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan," kata salah seorang pegawai suruhanjaya itu.

Sumber berkata pegawai SPRM cuma berperanan sebagai penyiasat dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang pertuduhan di mahkamah tanpa persetujuan pendakwa raya awam.

Mahkamah yang patut putuskan

Menurut pegawai itu, hal ini kerana prinsip pemisahan kuasa antara pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang termaktub dalam perlembagaan.

Seorang lagi pegawai berkata mahkamah yang patut memutuskan kes terhadap Guan Eng dan bukan menggugurkan semua pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Orang ramai perlu diberitahu hal (menggugurkan kes) ini tidak ada kena-mengena dengan SPRM.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Mahkamah itu juga membebaskan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang merupakan bekas pemilik rumah sewa Lim, daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo pada kos bawah nilai pasaran.

Berikutan itu, SPRM segera mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu, manakala peguam bela Guan Eng, Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan yang menegur SPRM.

Ramkarpal dalam kenyataannya berkata SPRM tidak sepatutnya berbuat tidak tahu-menahu dengan pembebasan Lim daripada pertuduhan itu "apabila pengarah bahagian undang-undang dan pendakwaan (SPRM) sendiri, Mohd Masri Daud" menjadi orang yang memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan itu.

Sementara itu, Masri ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan beliau tidak membincangkan dengan SPRM keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

"Saya tidak mempunyai sebarang komen (pada masa ini). Saya akan meminta pandangan pihak atasan saya terlebih dahulu, kerana saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perkara ini.

"Sama ada terdapat perbincangan atau tidak, saya tidak tahu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS