Suspek bakar mesin pembayaran automatik ditahan
Kurang 12 jam selepas kejadian kebakaran tiga mesin pembayaran automatik bil telefon pintar di sebuah premis di Taman Muhibbah, Kajang awal pagi tadi, polis berjaya menahan seorang gelandangan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di kawasan pekan Kajang pada kira-kira pukul 4 petang ini.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah membakar sampah dalam premis syarikat telekomunikasi itu pada pukul 5.15 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan kurang siuman dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Pada kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, Balai Bomba dan Penyelamat Kajang menerima panggilan mengenai kebakaran itu yang menyebabkan tiga mesin pembayaran automatik untuk bil telefon pintar yang ditempatkan di premis itu terbakar.
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.