Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman yakin Mahathir sendiri akan halang Anwar menang PRK

Datuk Lokman Noor Adam meramalkan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan kesampaian.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata permusuhan kedua-dua tokoh itu belum selesai dan Mahathir sendiri akan menghalang perkara itu daripada terjadi.

"Saya yakin Dr Mahathir akan tolong letak calon (di PRK Anwar, jika pembangkang tidak berbuat demikian).

"Ini pasti. Dr Mahathir akan usaha bersungguh-sungguh bagi memastikan Anwar tidak jadi perdana menteri. Dia bersungguh-sungguh tak mahu Anwar jadi PM," katanya dalam sidang media di PWTC.

Beliau berkata, kegagalan Mahathir untuk menghalang kemenangan Anwar menandakan detik permulaan kehancuran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu PRK yang bakal diadakan - mungkin dalam masa terdekat - bagi membolehkan Anwar yang juga bakal presiden PKR untuk kembali ke Parlimen.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kerusi yang bakal ditandingi Anwar akan diumumkan esok.

Mengulas lanjut, Lokman yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru menyatakan keyakinannya bahawa Anwar akan tewas dalam PRK itu walaupun jika ia diadakan di Permatang Pauh.

Beliau menyatakan dua sebab untuk menyokong pandangan itu, iaitu penolakan rakyat susulan kegagalan kerajaan menunaikan janji 100 hari pentadbiran dan gabungan UMNO dan PAS.

"PRK ini memang tak dapat dielakkan, cuma sekarang Anwar bermain teka-teki. Ada kata di Pandan, Selayang, ada kata di Sungai Petani dan Nibong Tebal.

"Tapi bagi kami itu semua tak penting (sebab) kalau dia pasti akan kalah walaupun bertanding di Permatang Pauh," katanya.

Beliau membangkitkan jumlah gabungan undi yang dimenangi Umno dan PAS pada PRU lalu iaitu 34,294, iaitu kurang 1,240 undi saja berbanding 35,534 undi yang diperolehi Nurul Izzah.

"Itu pun dengan segala fitnah kepada Datuk Seri Najib Razak yang kononnya mencuri wang RM2.6 bilion yang sehingga kini tiada pendakwaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS