Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Oleh kerana tuduhan mengatakan peranti Israel intip Istana Johor yang melibatkan telefon, e-mel dan komunikasi peribadi datang dari Istana sendiri maka tentulah menggemparkan rakyat dan menjemput perhatian segera pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri sendiri.

Jika tuduhan itu datang daripada rakyat biasa yang tidak mempunyai kekebalan dan keistimewaan maka mungkin seseorang telah ditahan kerana membuat tuduhan rambang yang berat atau palsu melibatkan imej keselamatan negara.

Pendedahan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) ini juga menarik perhatian Penasihat Media dan Komunikasi JPM, Datuk Kadir Jasin yang segera mengulas dalam blognya mengenai seorang putera diraja mendakwa kegiatan media sosial dirinya dan bapanya dipantau. Tulisan itu bertajuk" Tentang Bangsawan Yang Bermain Politik"

TMJ sendiri dengan pantas menjawab Kadir dalam Facebooknya tanpa menyebutkan nama tetapi jelas bila beliau merasakan sebagai orang yang disebut "Tersesat dalam kancah politik yang akan meletakkan keluarga saya berisiko menjadi mangsa serangan dan status kami direndahkan".

TMJ mendakwa beliau membuat pendedahan itu kerana keprihatinan terhadap masalah rakyat kerana baginya yang penting adalah rakyat dan bukan bergantung kepada gelaran tetapi kepada pandangan rakyat.

Tabik hormat kita kepada kesedaran baginda tetapi rakyat juga bertanya sama ada wajar pendedahan dibuat kepada umum.

Atau lebih bijaksana jika Istana yang amat dihormati oleh pihak berkuasa, lebih dahulu secara diam-diam melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tidak membuat kegemparan yang menampakkan ketidayakinan istana terhadap pihak kerajaan baru atau pihak polis.

Hal ini lebih perlu kerana istana Johor sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri bagi kali kedua telah pun menampakkan kecenderungan untuk campurtangan dalam keruncingan krisis politik rakyat dengan menuduh pindaan perlembagaan yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir bertujuan merampas kuasa istana.

Tidak mungkin Mahathir - seorang yang masih belum nyanyuk di umur 93 tahun akan melupakan pekara ini.

Melihat dengan sikap positif

Apapun saya melihat dengan sikap positif terhadap minat Istana Johor terutama TMJ terhadap masalah rakyat dari masa ke semasa terutama untuk menarik perhatian rakyat terhadap sikap tidak hormat mereka dan kerajaan terhadap kekebalan Istana.

Tentulah baginda sendiri menyedari reaksi rakyat semakin berani dan melampau untuk menegur pihak Istana atas sesuatu isu yang dibangkitkan.

Ada rakyat yang bergembira kerana istana telah membuka pintu kepada mereka untuk berinteraksi terus dengan raja tetapi ada rakyat yang melihat bahaya dan akibatnya kelak dalam jangka panjang yang akan menghakiskan sedikit demi sedikit penghormatan terhadap institusi diraja terutama apabila istana membiarkan diri mereka diperalatkan oleh perdana menteri atau pemimpin politik yang 'desparate'.

Bagaimanapun saya sendiri melihat proses ini sebagai positif dan yang sukar untuk dielak dalam dunia siber dan perkembangan sosial negara yang institusi pelajaran dan ilmu berkembang pesat, mempercepatkan kemajuan berfikir rakyat ke arah tidak lagi menghargai tradisi dan adat Istiadat yang tidak sezaman dengan dunia luar.

Maka itu penyertaan keluarga diraja khususnya Johor dalam arena politik akan membantu ke arah mempercepatkan pendemokrasian institusi diraja itu sendiri.

Pembangunan kedaulatan diraja menerusi decorum dengan segala protokol, adat Istiadat pertabalan yang dilambangkan oleh pakaian dan hiasan yang sesuai untuk meninggikan dan membezakan imej diraja daripada identiti rakyat bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi apabila raja-raja tidak lagi menganggap perlu umpamanya daripada segi pakaian yang sesuai untuk sesuatu majlis termasuk majlis-majlis agama bagi melambangkan identiti Melayu Islam maka akhirnya rakyat juga merasakan semua itu tidak perlu lagi. (Kamus Merriam Webster memberikan contoh pengertian decorum dalam soal pakaian: Decorums are usually required when attending the opera.

Raja berjiwa rakyat

Kesedaran terhadap kuasa rakyat amat tebal dalam jiwa perdana menteri Pertama Tunku Abdul Rahman yang meninggalkan istana demi untuk berjuang bersama rakyat untuk kemerdekaan negara walaupun beliau amat prihatin terhadap protokol.

Apabila pulang dari belajar undang-undang di UK, beliau tidak sefahaman dengan abangnya Sultan Kedah, Sultan Badlishah tentang kemerdekaan negara.

Dalam hubungan ini beliau menulis dalam buku sejarah Utusan Melayu 10 tahun yang antara lain memetik tentang kata-kata Raja Mesir, Raja Farouk yang lari ke Rom setelah ditumbangkan oleh rakyat dalam tahun 1952. Farouk berkata:

"Akhirnya dalam dunia ini tinggal lima sahaja raja iaitu raja England, raja kelawar, raja sepit, raja diamond dan raja lekok."

Apabila saya menemui Tunku dalam masa krisis di antara beliau dengan Sultan Selangor mengenai sekeping tanah di Jalan Duta, Tunku kerana marahnya telah menyatakan perkara yang sama kepada saya, tetapi saya tidak menulisnya.

Saya tidak mempunyai perasaan syak wasangka sedikit pun kerana Tunku Abdul Rahman berdarah raja bahkan beliau seorang raja yang benar-benar berjiwa rakyat.

Apabila menjadi pegawai daerah Sg Petani sekembali dari London beliau ditukarkan ke Kulim kerana terlalu rapat dengan rakyat dan di Kulim pun beliau banyak mengambil berat mengenai masalah rakyat.

Eloklah TMJ ikuti langkah Tunku ini demi rakyat.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS