GLOBAL | Syarikat SpaceX dari Amerika Syarikat pada Isnin mendedahkan, jutawan Jepun Yusaku Maezawa bakal menjadi pelanggan swasta pertama untuk pengembaraan ke angkasa, lapor agensi berita Xinhua.

Maezawa, pengasas perniagaan pakaian Zozotown dalam talian terbesar di dunia, akan ke angkasa pada awal tahun 2023, dan membawa bersamanya enam hingga lapan artis untuk merasai pengalaman itu.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun, dengan memiliki keuntungan bersih bernilai US$ 2.9 bilion itu juga gemar mengumpul hasil seni.

Pengasas SpaceX, Elon Musk, menerusi twitternya menulis "Yusaku akan membawa artis dan tokoh budaya bersamanya mengikuti perjalanan mengelilingi bulan."

"Ia satu langkah penting untuk menyediakan peluang kepada mereka yang mempunyai impian ke angkasa menjadi kenyataan," katanya.

Musk berkata, Roket Big Falcon (BFR) yang akan digunakan dalam pengembaraan ke angkasa itu masih dalam pembinaan.

BFR sepanjang 118 meter panjang, dengan muatan 1,100 meter padu dan 100 tan metrik, dilengkapi tujuh enjin Raptor, masing-masing mempunyai dorongan sebanyak 200 tan.

- Bernama