Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN perlu hati-hati terima tokoh keluar Umno, kata AMANAH
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 12:58 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Pemuda AMANAH menyambut baik keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Anifah Aman meninggalkan Umno, namun dalam masa yang sama menggesa Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya lebih berhati-hati dalam menyantuni tokoh-tokoh berkenaan.

"Kepada tokoh-tokoh ini... tahniah kerana telah mengambil tindakan yang tepat meninggalkan Umno.

"Bagaimanapun, Pemuda AMANAH ingin mengingatkan rakan komponen Pakatan Harapan agar lebih berhati-hati dalam menyantuni tokoh-tokoh ini dan penerimaan mereka sebagai ahli termasuk sebagai pimpinan... haruslah dengan cermat dan tidak menggadaikan prinsip-prinsip HARAPAN," kata Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan keluar Umno itu memberi isyarat parti itu tidak lagi relevan di kalangan orang Melayu.

"Setakat hari ini sudah 5 ahli Parlimen Umno yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno yang merupakan satu isyarat jelas bahawa parti itu kini tidak lagi relevan dan tidak layak untuk menggelar diri sebagai parti keramat orang Melayu.

"Dikhabarkan juga bahawa terdapat satu lagi gelombang keluar UMNO yang akan berlaku dalam masa terdekat," katanya.

Selasa lalu, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu mengumumkan keluar Umno selepas menganggotai parti berkenaan lebih 40 tahun.

Keputusan tersebut mengejutkan banyak pihak memandangkan Mustapa memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis tertinggi (MT) Umno pada Jun lalu.

Mustapa dalam kenyataannya berkata, beliau mengambil keputusan itu setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

Lihat Komen
ADS