Umno sedia beri majoriti 2/3 kepada HARAPAN di parlimen
Tidak memiliki penguasaan dua per tiga di Dewan Rakyat bukan alasan untuk kerajaan Malaysia menangguhkan sebarang program yang membawa kebaikan kepada rakyat, kata Tan Sri Annuar Musa.
Setiausaha Agung Umno itu berkata walaupun sebahagian daripada anggota parlimen itu mewakili parti terbabit, mereka tetap bersedia menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) jika sesuatu rancangan itu membawa faedah.
Sebagai parti pembangkang yang membina, kata Annuar, Umno bersedia menyokong cadangan kerajaan bagi membolehkan majoriti dua per tiga yang diperlukan, diperolehi di parlimen.
Antara isu yang boleh diketengahkan kata anggota parlimen Ketereh itu ialah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Umno berharap perdana menteri dapat memandu arah supaya satu perbincangan mendalam melibatkan anggota parlimen diadakan mengenai MA63.
"Jawatankuasa terpilih boleh dibentuk dengan melibatkan pihak kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Annuar isu MA63 merupakan perkara asas dan sangat penting bukan saja kepada Sabah dan Sarawak, malah Malaysia secara keseluruhan.
Bukan bangkang semua
MA63 ialah suatu perjanjian melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura yang bersetuju bergabung membentuk Malaysia.
Bagaimanapun Singapura kemudian berpisah dari Malaysia menjadi negara merdeka pada 1965.
Semasa meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept lalu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan HARAPAN akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak apabila kajian mengenai MA63 disiapkan.

"Pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.
"Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif," katanya.
Pembentukan jawatankuasa khas kabinet mengenai MA63 merupakan salah satu daripada 10 janji 100 hari HARAPAN.
Menurut Annuar Umno memang bukan sebahagian daripada gabungan HARAPAN namun perbezaan itu tidak seharusnya menghalang kebersamaan dalam perkara yang melibatkan kepentingan umum.
Katanya jika sesuatu cadangan kerajaan itu memang baik untuk rakyat dan negara, pembangkang - seperti Umno - sedia membantu perdana menteri merealisasikan wawasannya berdasarkan kebijaksanaan beliau.
"Dulu, pembangkang akan membangkang semua perkara.
"Mereka membangkang hanya kerana perlu membangkang, sehinggakan perkara yang baik pun ditolak.
"Amalan seperti ini harus dihentikan," katanya.


确定要删除留言?
此后将无法恢复