Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rangkuman PRK PD: Anwar buat 'kejutan' di kem tentera
Diterbitkan:  Oct 3, 2018 11:46 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

RANGKUMAN PRK PD | Hari kelima pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson menyaksikan penampilan mengejut calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di dalam kem tentera Port Dickson.

Anwar tampil ketika Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedang menyampaikan anugerah di Muzium Tentera Port Dickson.

Ia menimbulkan persoalan sama ada kehadiran Anwar itu dianggap sebagai melanggar kesalahan pilihan raya atau tidak.

Pada PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu, antara kategori kesalahan pilihan raya yang digariskan BERSIH adalah penggunaan harta dan program kerajaan.

Anwar menjelaskan bahawa beliau hadir bukan untuk bertemu pengundi Port Dickson kerana 110 pesara tentera yang menerima pingat adalah dari merata negeri dalam Malaysia.

Bagaimanapun, persoalan itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Mohamad yang dilihat seperti berkempen untuk Anwar.

Dalam ucapannya Mohamad berkata bahawa kebajikan pesara tentera akan ditingkatkan sekiranya wakil rakyat Port Dickson adalah seorang bakal perdana menteri.

Walaupun tidak menyebut nama Anwar secara langsung, umum mengetahui bahawa Anwar dinamakan oleh HARAPAN sebagai calon perdana menteri yang akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berhubung peruntukan RM500,000 yang diberikan kepada Kem Tentera Port Dickson sebelum ini,Mohamad berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan sama ada ia dianggap rasuah atau tidak.

Jelas Mohamad, peruntukan itu diberikan sebelum PRK lagi.

Kelab Anwar Ibrahim anjur konsert

Dalam perkembangan berasingan, ketika hari kempen berbaki 10 hari lagi, sebuah konsert yang menampilkan artis terkemuka akan diadakan di Port Dickson pada 5 dan 6 Oktober ini.

Salah satu penganjur bersama konsert yang diberi nama PICNIC@PD itu adalah Kelab Anwar Ibrahim (AIC).

Penganjur lain adalah Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani (MADANI), dan Muafakat Anak Muda Port Dickson.

Artis dan penghibur terkemuka seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Datuk Hattan, Ito dan band Gerhana Ska Cinta antara yang dijadualkan memeriahkan konsert berkenaan.

Artis dan band lain yang akan menyertai konsert itu adalah Blank Gamma, Khalifah Band, Wany Hasrita, Shamsul Ghau-Ghau, Zul Handyblack, Iwan Dangdut dan dR Sam.

Isa: Anwar kawan lama saya

Sementara itu, calon bebas yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini menegaskan tidak akan menyerang peribadi Anwar.

Sebaliknya, kata Mohd Isa, beliau mahu menumpukan kempennya tentang khidmat yang pernah diberikannya kepada masyarakat tempatan sebelum ini.

Mohd Isa juga menyifatkan Anwar sebagai "kawan lama".

Dalam berita berasingan, Mohd Isa mengakui sebahagian pemimpin dan anggota Umno peringkat akar umbi di Port Dickson menyokongnya, walaupun selepas bekas partinya itu memutuskan untuk memboikot PRK berkenaan.

PAS gesa kes kelayakan Anwar disegera

Di lembaran PAS pula, tidak banyak yang didengar dari calon mereka.

Namun, pimpinan parti itu hari ini menggesa mahkamah menyegerakan pendengaran saman pemula difailkan seorang pengundi berdaftar di Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Anwar tidak layak menjadi calon pilihan raya.

Ia susulan seorang pengundi pada 28 Sept lalu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengenai kelayakan Anwar bertanding dalam PRK Port Dickson.

Permohonan oleh Noraziah Mohd Shariff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu turut disertakan dengan perakuan supaya ia didengar secepat mungkin.

Bagaimanapun tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

Tak bimbang hilang deposit

Calon bebas yang tidak begitu dikenali, Seck Lau Yan pula hari ini berkata bahawa beliau tidak risau kehilangan deposit RM15,000 dalam PRK itu, sekiranya dia memperolehi kurang daripada satu perlapan jumlah undi.

Bagaimanapun, pendidik berusia 51 tahun itu gembira kerana menerima mesej sokongan daripada rakan-rakan dan pelajar lamanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS