Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu Najib buat laporan polis terhadap Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 9:50 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Seorang pembantu peribadi kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat laporan polis terhadap pemimpin veteran Lim Kit Siang.

Malaysiakini melihat laporan polis yang dibuat pembantu Najib terhadap bosnya itu di balai polis Hartamas di Kuala Lumpur malam ini.

"Saya... telah terbaca artikel yang ditulis oleh Lim Kit Siang yang disiarkan di portal Malaysiakini pada 8 Oktober 2018 yang bertajuk "If I am PM, I will reopen investigation: Kit Siang To Najib."


BACA: 'Saya akan buka semula siasatan kes bunuh kalau saya PM'


"Di dalam artikel ini, Lim Kit Siang mahu siasatan semula dijalankan untuk kes-kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed yang pernah dikaitkan Pakatan Harapan terhadap majikan saya Datuk Seri Najib Razak.

Pengadu mendesak polis untuk menyiasat Lim berdasarkan artikel Malaysiakini yang mana beliau berkata beliau akan membuka semula siasatan ke atas kematian Altantunya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed.

Menurut pengadu, semua kes-kes ini telah disiasat secara terperinci dan melalui proses kehakiman. Sehubungan itu, beliau berkata polis perlu menyiasat Lim untuk mendapatkan maklumat lanjut kerana beliau berkata siasatan lanjut diperlukan.

'Bersih nama majikan daripada pembohongan politik'

Pengadu berkata jika Lim di pihak yang benar dan mempunyai maklumat untuk mengarahkan siasatan baru terhadap kes-kes ini, maka anggota parlimen itu perlu menyediakan maklumat mengenainya.

"Berdasarkan maklumat tambahan yang diberi oleh beliau (Lim) saya mahu pihak polis membuka semula siasatan ke atas kes-kes (pembunuhan) ini.

"Jika hasil siasatan ini menunjukkan majikan saya tidak terlibat maka saya pohon polis untuk membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi jika dakwaan Lim Kit Siang tidak berasas dan merupakan satu pembohongan politik, saya juga menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau," kata pembantu peribadi Najib Razak dalam laporan polis itu.

Semalam bekas presiden Umno itu mengarahkan pembantunya untuk membuat laporan polis supaya membuka semua kes-kes pembunuhan yang membabitkannya.

"Esok, saya akan meminta pembantu saya untuk membuat laporan polis terhadap saya supaya pihak polis di bawah kerajaan Pakatan Harapan boleh menyiasat semula jika saya terlibat dalam semua kes-kes pembunuhan ini," katanya dalam suatu hantaran Facebook semalam.

Menurut Najib tindakannya membuat laporan polis terhadap dirinya sendiri itu selepas beberapa kali mendesak pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang supaya memujuk pihak berkuasa menyiasat semula beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.


BACA: Misteri pembunuhan Morais, Altantuya: K'jaan digesa tubuh siasatan khas


Lihat Komen
ADS