Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik balik penguatkuasaan larangan merokok di dalam bangunan parlimen, kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata pihaknya telah menemui Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bagi menyatakan pendirian mengenai pembatalan bilik merokok di kawasan berkenaan.

Katanya ia selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC bagi melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Penguatkuasaan peraturan ini menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

"Sehubungan itu, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen," kata Dzulkefly dalam kenyataan media hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan seluruh bangunan Parlimen termasuk tempat makan dan sudut merokok sebelum ini sebagai kawasan larangan merokok.

Sehari selepas itu, lapan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang tidak mengendahkan larangan itu termasuk seorang anggota parlimen.

Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini membangkitkan isu bidang kuasa Dzulkefly mengenakan larangan berkenaan.

Menurut Johari, menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana parlimen berada bawah bidang kuasa speaker.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pula berpendapat Dzulkefly perlu membuat kunjungan hormat terhadap speaker terlebih dahulu.

Dzulkefly dalam kenyataannya hari berkata hasil pertemuan dengan speaker mereka bersetuju menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen.

Ruang itu katanya akan disediakan sehingga satu ruang merokok alternatif tetap dibina di luar bangunan Parlimen.

Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’, KKM dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok dengan menawarkan rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan parlimen.

"Perkhidmatan saringan nafas CO dan fungsi paru-paru juga ditawarkan secara percuma," kata Dzulkefly.