Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada aduan rasmi terhadap dakwaan rasuah MP Sungai Siput'

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa Aduan, Rayuan dan Disiplin PKR berkata parti itu tidak menerima sebarang laporan rasmi terhadap calon naib presiden S Kesavan berhubung dakwaan terlibat dalam politik wang.

Pengerusi jawatankuasa itu Syed Husin Ali berkata ia walaupun dakwaan itu mendapat liputan meluas media sejak awal minggu ini.

"Tak ada (laporan terhadap Kesavan).

"Semua rungutan (yang dilaporkan) tentang politik wang, saya tak ada terima (laporan rasmi)," katanya.

Pada 25 Oktober lalu, satu laporan polis dibuat terhadap Kesavan yang mendakwa anggota parlimen Sungai Siput itu menawarkan RM500 kepada seorang anggota parti sebagai habuan bagi mendapatkan undi untuknya.

Kesavan menafikan dakwaan itu keesokannya dan berkata ia dirancang.

Beliau mendakwa pengadu yang membuat laporan polis itu sendiri yang bertemunya untuk mendapat bantuan kewangan bagi keluarganya, menyebabkan beliau meluluskan bantuan RM500 itu.

Calon timbalan presiden Rafizi Ramli juga berkata dakwaan terhadap Kesavan memang "dirancang" dan disasarkan kepada calon yang dikaitkan dengannya pada pemilihan kali ini.


BacaRafizi: Tuduhan politik wang hanya 'makan tuan'


Syed Husin ditemui di majlis memperingati 10 tahun pemergian Rustam Sani, ketua penerangan PKR yang pertama, di Gerakbudaya di Petaling Jaya, hari ini.

Ketika itu, Rustam yang juga anak kepada pejuang kemerdekaan Ahmad Boestamam merupakan timbalan presiden Parti Rakyat Malaysia yang bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk PKR.

'Tiada aduan politik wang'

Syed Husin selagi berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan berkenaan politik wang walaupun dengan pelbagai rungutan yang diterima sejak pemilihan PKR bermula.

"Rungutan ada banyak, pada mesyuarat terakhir Jumaat lalu ada 20 kes.

"Kes banyak tetapi bagi yang memerlukan bukti yang konkrit, tak ada," katanya sambil berkata laporan media berhubung perkara itu sering menjadikan keadaan lebih buruk daripada sebenar.

Katanya lagi, parti tidak boleh bertindak terhadap sebarang rungutan jika tiada aduan rasmi kepada jawatankuasanya.

Terdahulu di acara itu, rakan dan keluarga Rustam berkongsi pandangan mereka terhadap karya-karya profesor sains sosial itu. Mereka turut menceritakan pengalaman peribadi bersama Allahyarham.

Mereka antara lain membincangkan idea Rustam berkenaan konsep pembinaan negara, dan bagaimana beliau menyokong Wawasan 2020 ketika ia pertama kali dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anak Rustam, Azrani (gambar) yang juga seorang wartawan New Straits Times, berkata bapanya seorang yang berprinsip.

Pada masa sama, katanya lagi, beliau tidak memaksakan pandangan yang dipegangnya terhadap dua orang anaknya.

Ketika kemuncak gerakan Reformasi pada 1998, Azrani berkata Rustam memulakan kempen boikot terhadap akhbar berkaitan Umno.

"Anda boleh bayangkan betapa mengujakan kehidupan saya pada waktu itu. Ia menunjukkan betapa dia seorang yang saksama," kata Azrani.

Antara tokoh yang hadir dalam program hari ini adalah Presiden PSM Dr Nasir Hashim dan pemimpin veteran PKR Syed Shahir Syed Mahmud.


 

Lihat Komen
ADS