Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Barangkali bosan kerana perbualan biasa-biasa dalam kumpulan WhatsApp selama berhari-hari, salah seorang anggotanya 'menyakat' kawan-kawan.

Daripada segala apa yang ada di atas muka Bumi ini, dia memilih untuk menghantar imej tentang dakwaan kerajaan Pulau Pinang mengharamkan azan.

Untuk mengukuhkan hujahnya mamat yang seorang ini menyodorkan satu klip kuliah "agolitik" seorang pemimpin sebuah parti.

Apakah "agolitik" itu? Ia istilah yang sengaja direka untuk tulisan kali ini, iaitu gabungan sedikit kata-kata agama dan banyak kempen politik semasa kuliah di masjid.

Keratan imej dan video itu sudah bertahun-tahun lamanya. Si ustaz yang membuat tuduhan juga sudah meminta maaf. Dan kerajaan Pulau Pinang bukan sekadar mengizinkan azan, malah pada setiap subuh negeri itu menggalakkan azan dikumandangkan dua kali.

Tetapi apa sangatlah untuk seorang penyokong parti kebangsaan bernama PAS itu untuk menerima hujah bahawa apa yang dihantarnya itu satu fitnah.

Baginya - barangkali - demi Islam semuanya adalah halal, waima menyebarkan pembohongan dan fitnah.

"Aku geram, bro. Bila orang hantar gambar seksi atau lucah dalam grup, tak ada sesiapa yang bising," kata dia. "Ini aku usik sikit pasal DAP semua melompat."

"Bukan soal DAP atau amoi," kata seorang kawannya. Juga dalam kumpulan WhatsApp itulah. "Ini soal betul atau salah, fitnah atau fakta. Kalau salah mengaku salah."

Maknanya dia nak melawan hantaran-hantaran nakal dan lucah dengan keratan cerita dan video pembohongan.

Selepas ditegur - dan gagal pula mempertahankan hujahnya - dia pun meminta maaf dengan bertapi-tapi. Tapi itu dan tapi ini. Dia tetap menyalahkan orang lain dalam maafnya. Memang jenuh.

Ia adalah gambaran betapa tidak semua orang yang mendakwa sayangkan Islam itu mempunyai kefahaman yang dalam tentang Islam. Dan pada ketika tertentu mereka akan keliru dengan kata-kata sendiri.

Mencampur-adukkan Islam dengan mengabsahkan semangat Melayu melampau, misalnya.

Ismail Haniyeh tak berjubah

Islam ialah agama yang membawa aman, damai dan sejahtera. Ia mungkin boleh hadir dalam tubuh orang berjubah, atau berserban, namun tidak semestinya orang yang berkot dan berseluar jeans tidak ada iman di dalam hatinya.

Serban dan jubah - sebagai contoh - mungkin membalut sekujur tubuh yang damai dan membahagiakan, namun ia bukan suatu jaminan.

Berapa ramai orang berjubah dan berserban begitu lincah menyakiti orang lain. Jika tidak pun dengan siku, lutut, kaki atau tangan, mereka melakukannya dengan penuh bergaya dengan nikmat lidah yang Allah kurniakan.

Islam itu menyeluruh dan teduh. Ia bukan sekadar jubah dan serban atau berdahi hitam. Berapa banyak sudah kita berdepan kesukaran untuk membezakan yang mana satu lebih hitam pada seseorang - sama ada dahi atau hatinya.

Orang yang berjubah, berjanggut dan berserban mungkin muslim tetapi tidak semestinya seorang mukmin. Kalau mereka mencarut, menyebarkan aib atau menanamkan kebencian, itu masih boleh dilayan dengan hati yang tenang.

Namun bagaimana dengan orang yang berjubah dan berserban - misalnya - begitu galak melayan mesej wanita yang 'gersang' pada malam hari atau menghantar gambar alat sulit sendiri? Ini cuma contoh dan misalan saja. Tidak merujuk kepada sesiapa sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Bagaimana pula dengan orang yang mengaku bertakwa pada hampir kebanyakan masanya, kemudian memikirkan bagaimana mahu meledakkan tubuh-tubuh yang dilatih untuk menjadi pengebom pencari mati?

Jahat atau baik seseorang - atau muslim atau tidaknya mereka - bukan ditentukan oleh pakaian yang khusus. Akhlaklah yang menentukan taraf mereka sama ada perlu dihormati atau dibenci.

Entah berapa kali Ismail Abdel Salam Ahmed Haniyeh itu berjubah pada setiap bulan berbanding dia berpakaian segak dengan kot dan bertali leher. Berkot dan bertali leher tidak menjadikan beliau fasik atau munafik.

Orang tetap menghormatinya sebagai seorang pejuang yang tekal dengan Hamasnya.

Namun bagi sesetengah orang menyebarkan falasi (fallacy) dianggap halal hanya kerana dia berasa dia lebih bertakwa dan Islam berbanding orang lain.

Dan jika tindakan itu dilakukan orang yang sealiran dengannya, ia wajib disokong. Pedulilah apa pun hujahnya atau bagaimana busuk tembelang yang pecah, ia wajib dibenarkan.

Apakah lagi istilah yang sesuai untuk menamakan fahaman itu kalau bukan kebangsaan? Dan pada beberapa segi PAS kini bolehlah dianggap sebagai sebuah parti kebangsaan yang secara kebetulan pada tubuhnya ada perkataan Islam.

Bangsa apakah mereka? Bangsa PAS-lah.

Tukang kempen percuma

Dan bangsa PAS itulah yang diajak pemimpinnya memboikot filem Polis Evo 2 itu. Daripada orang tidak begitu peduli dengan filem berkenaan, kini semakin ramai menyedari bahawa ada filem tersebut bakal menjengah pawagam beberapa hari saja lagi.

Adakah kempen itu akan berjaya? Jawabnya, ya dan tidak.

Ya, berjaya kalau julatnya ialah di kalangan bangsa PAS saja. Tidak pula kalau diukur kepada rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Seorang rakan yang memang bukan penggemar filem-filem Melayu semalam berkata, dia akan menonton Polis Evo 2 di pawagam.

Alasan dia mudah: sebab PAS suruh boikot maka dia wajib menyanggah PAS. Antara lain kerana dia tahu PAS bukan agama dan kata-kata pemimpinnya bukan bertaraf wahyu walaupun mungkin mereka berserban dan berjubah selalu.

Dan tarikh 9 Mei baru saja berlalu. Sukar untuk percaya bahawa PAS sudah lupa bahawa di kebanyakan kerusi pilihan raya yang ditandinginya - kecuali di pantai timur dan Kedah - mereka berada di kedudukan bawah.

Jika pertandingan tiga penjuru, maka biasanya di tempat ketigalah PAS. Mujur sangat kalau ada pertandingan empat, lima, enam atau lebih penjuru, tidaklah malu sangat bangsa PAS.

Maknanya mereka ditolak orang ramai, kalau pun tidak dibenci oleh sesetengah pengundi. Keadaan itu berlaku dalam keadaan calon-calon mereka kadang-kadang berjubah dan berserban, dan kadang-kadang tidak.

Kadang-kadang mereka mahu kelihatan seperti hipster.

Dalam keadaan begitu amat luar biasa kebijakan pemimpin PAS membuat gesaan seperti memboikot Polis Evo 2 itu.

Mengenai Polis Evo 2 itu, elok benar kalau syarikat produksinya, Astro Shaw, memberi sedikit sumbangan kepada PAS atas kegigihan sesetengah pemimpin dan penyokong parti itu memberikan promosi percuma buat mereka.

Ia bukan masalah besar buat penerbit filem itu - atau sesiapa pun. Kalau bimbang akan ada isu berbangkit, hulurkan derma itu atas nama individu, bukan syarikat.

Bukankah PAS sebuah parti yang bangsanya berpolitik secara matang dan sejahtera? Justeru mereka sedia menerima sumbangan daripada sesiapa saja waima daripada parti yang pantang besar buat mereka, iaitu DAP? 

Jangan lupa juga wawasan jauh PAS mahu mengumpul infak RM10 juta sebulan itu. Dengan adanya sumbangan demi sumbangan daripada semua, cepatlah parti itu mencapai matlamat yang ditetapkan para cendekiawannya. 

Itulah, kadang-kadang ada juga sedikit simpati buat bangsa PAS itu tetapi mereka nampaknya gigih benar tidak mahu dikasihani dengan cara yang wajar.

Kemudian kita pun sedar - ingatan dan rasa hormat pada seseorang itu bukan terletak pada batang tubuhnya.

Seseorang itu mungkin rendah, mungkin tinggi, mungkin gempal, mungkin kurus, mungkin berkulit cerah, mungkin gelap. Pada akhirnya yang diambil kira ialah akal dan kewarasan juga.

Selebihnya ialah tahap kelobakan masing-masing yang tersorok atau terlondeh oleh kata-kata sendiri.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menggemari brokoli dan kadang-kadang berasa lucu melihat pejuang Melayu megah berbaju Harley Davidson.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS