Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran meminta pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak melepaskan tanggungjawab mereka berhubung pembatalan status Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara.

Beliau berkata, walaupun keputusan awalnya dibuat oleh kerajaan negeri BN terdahulu, namun perintah pembatalan warta itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan pada September lalu.

"Usaha telus untuk mengalihkan kesalahan kepada BN tidak boleh diterima.

"Meskipun benar bahawa kerajaan negeri BN membuat keputusan untuk membatalkan warta Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara pada bulan Mac 2018, namun mereka tidak bertanggungjawab terhadap pewartaan itu.

“Perintah pembatalan warta itu sebaliknya dibuat oleh pihak berkuasa kerajaan negeri PH pada 24 September 2018, melalui Warta No.3808.

"Ini dilakukan lebih empat bulan selepas kejatuhan kerajaan negeri BN.

"Justeru, pembatalan warta itu adalah tindakan kerajaan negeri PH dan bukan BN," kata bekas ahli parlimen PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran juga mempersoalkan mengapa langkah-langkah tidak diambil untuk menolak keputusan itu.

Oleh itu, beliau berkata, kini menjadi kewajipan kerajaan negeri semasa untuk membatalkan atau menukar semula warta itu, dan memulihkan status pulau Kukup sebagai taman negara.

Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan supaya tidak membazirkan masa dan menggunakan Akta Warisan Kebangsaan 2005 dalam usaha memulihara pulau berkenaan.

"Di bawah Akta tersebut, mana-mana tapak yang mempunyai 'warisan semulajadi' boleh diisytiharkan sebagai 'tapak warisan' oleh Pesuruhjaya Warisan.

"Warisan semulajadi di bawah Akta itu termasuk mana-mana 'tapak semulajadi bernilai; Pulau Kukup jelas layak menjadi tapak warisan.

"Akta ini boleh digunakan tanpa mengira siapa yang memiliki tanah itu hari ini."

[Baca berita penuh]