Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
DUN Johor lulus usul gesa k’jaan negeri kaji status Pulau Kukup

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dikuasai oleh Pakatan Harapan hari ini meluluskan usul tergempar mendesak kerajaan negeri supaya mengkaji semula status Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara.

Usul itu dibawa oleh Khairudin A Rahim (Amanah-Senggarang) dengan lebih 10 wakil rakyat yang berdiri untuk menyokong perkara supaya ia dibahaskan.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat membenarkan ia dibahaskan. Selain Khairuddin, usul itu turut dibahaskan oleh dua ADUN lain iaitu Mohd Solihan Badri (PH-Tenang) dan Md Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning).

Ketiga-tiga mereka menyatakan betapa pentingnya untuk memelihara dan memulihara pulau itu yang diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau yang kedua terbesar di dunia.

Selain itu, mereka berkata, pulau itu juga menjadi penampan hakisan ombak dan ribut, mampu menjana ekonomi menerusi sektor pelancongan dan kaya dengan flora dan fauna.

Justeru, mereka mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengambil maklum perkara berkenaan dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Ia kemudiannya diluluskan setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Semalam, anggota exco Johor Aminolhuda Hassan berkata, status taman negara Pulau Kukup dibatalkan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini.

Satu pekeliling yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan tindakan berkenaan adalah untuk membolehkan tanah didaftarkan di bawah nama Sultan Johor Sultan Iskandar.

Ini disahkan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang memberi jaminan bahawa Pulau Kukup akan terus berfungsi sebagai sebuah taman negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS