Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SPRM menangkap bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berhubung dakwaan mengubah laporan audit 1MDB, kata sumber.

Sumber daripada pihak berkuasa memberitahu Malaysiakini Najib ditangkap ketika beliau hadir untuk sesi soal siasat pada jam 11 pagi tadi.

Ketika berita ini ditulis, Najib masih berada di bawah tahanan SPRM tetapi sumber berkata para penyiasat mungkin akan membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.

"Ketika kita bercakap ini, Najib sedang direkodkan keterangannya oleh para penyiasat.

"Bagaimanapun, Najib akan dibebaskan kemudian dengan ikat jamin," kata pegawai kanan SPRM yang enggan namanya disiarkan.

Najib ditangkap di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 mengenai salah guna kuasa.

Padam perenggan sebut Jho Low hadir mesyuarat 

Sumber berkata mereka menjangkakan Najib akan di hadapkan ke mahkamah pada Rabu ini untuk dikenakan pertuduhan berkaitan dakwaan meminda laporan audit bersama CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Satu lagi sumber berkata para penyiasat juga merancang untuk menangkap Arul yang juga presiden syarikat pelaburan negara itu.

Difahamkan Najib dilepaskan pada jam 1.20 tengah hari tadi selepas para penyiasat siap merekodkan keterangannya.

Dilaporkan minggu lalu, SPRM dijangka akan menghadapkan Najib dan Arul Kanda ke mahkamah atas tuduhan mengubah laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB.

Ini selepas para penyiasat mengambil keterangan Arul mengenai dakwaan tersebut yang muncul susulan pengesahan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad bahawa Najib dan beberapa individu lain meminda dokumen kerajaan itu.

Ini termasuklah arahan daripada setiausaha sulit Najib untuk memadamkan perenggan yang menyebut kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.

Low sekarang berhadapan pertuduhan di mahkamah dan masih dalam buruan pihak berkuasa.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS