Menteri: Sebarang penemuan, biar majistret buat pengumuman
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terbuka berhubung keputusan mengadakan inkues mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata keputusan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri itu semalam dibuat selepas mengambil kira siasatan awal kematian Adib.
"Saya ingat itu keputusan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri selepas ambilkira siasatan awal dan sebagainya.
"Dan mereka fikirkan sejawarnya, sebaiknya untuk mengadakan inkues. Jadi biarkan. Biarkan ikues tersebut dijalankan.
Jadi sebarang penemuan biar majistret yang buat pengumuman," kata pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Wira Merah di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung kenyataan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia semalam yang mempersoalkan keputusan Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian Adib.

Ini kerana menurut presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar, inkues berkenaan hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.
Katanya, bukan semua kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan satu inkues akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Adib berikutan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada awal bulan ini.
Muhyiddin dimaklumkan mengenai hal itu oleh Tommy Thomas ketika perbincangan mengenai perkembangan kes tersebut.
Sementara itu, Zuraida turut diminta mengulas sama ada modul persediaan bomba akan diperbaharui daripada modul sedia ada susulan insiden tersebut.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan ia diperlukan sekiranya keputusan siasatan kematian Adib mendapati modul sedia ada perlu diperbaiki .
"Setiap pegawai bomba diberi latihan yang bertepatan dengan tugasan mereka. Kita tak nafikan mungkin ada perkara yang kita boleh perbaiki.
"Itu memang selalu kita perbaiki latihan, modul latihan dan naiktaraf mengikut standard antarabangsa. Ia berperingkat dan masa ke semasa. Itu tidak menjadi satu perkara yang janggal bagi kita.
"Tapi kalau sekiranya ada keperluan dari keputusan siasatan dan sebagainya untuk kita perbaiki kita alu-alukan," katanya.
Terdahulu, Zuraida dalam ucapannya mengingatkan rakyat Malaysia menghormati tugas dan tanggungjawab anggota seragam serta tidak mengambil tindakan mengikut nafsu sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu modul.
Kepada anggota dan pegawai Bomba pula, beliau menasihatkan agar kematian Muhammad Adib tidak melunturkan semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Pengorbanan Adib dilihat sebagai hero dan wira negara,” katanya.
Pada majlis itu, Zuraida secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.
Beliau juga menyampaikan lapan pelbagai sumbangan kepada keluarga Muhammad Adib yang keseluruhannya berjumlah RM298,755.
Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye menyerahkan cek sumbangan RM10,000 kepada keluarga Muhammad Adib.
Waris keluarga enam Wira Merah yang terkorban semasa menjalankan tugas penyelamatan di Lombong Taman Putra Perdana Puchong, Selangor pada 3 Okt lepas turut menerima sumbangan sebanyak RM362,282 dan RM50,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).






