Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK CAMERON HIGHLANDS | Kerajaan Pahang tidak bercadang memberikan sebarang 'habuan khas' kepada pengundi sempena pilihan raya kecil akan datang, kata menteri besar.

Menurut Wan Rosdy Wan Ismail langkah itu diambil kerana kerajaan negeri memang sentiasa memberikan khidmat dan bantuan kepada penduduk Pahang dari semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri selama ini berkhidmat untuk rakyat, kami tak tunggu pilihan PRK untuk buat sesuatu (bagi memancing undi)," katanya kepada media hari ini.

Wan Rosdy yang juga pengarah PRK Cameron Highlands untuk BN menambah kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Memberikan beberapa contoh, termasuk 51 permit kepada pekebun kecil, Wan Rosdy berkata tiada pengumuman khas akan dilakukan kerajaan negeri sempena PRK kali ini.

"Memang sejak dulu kami konsisten memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

"Maksudnya, pada setiap masa termasuk selepas PRK nanti kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kerana memang itu hasrat kami. Bukan saya di kawasan parlimen Cameron Highlands, malah kawasan lain," katanya.

Bekas pegawai polis

Terdahulu Adun Jelai - salah satu kerusi DUN dalam Cameron Highlands - itu ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang akan mengumumkan sebarang insentif atau pemberian khas menjelang hari pengundian nanti.

Untuk rekod, Pahang adalah salah satu negeri yang ditadbir pembangkang selepas PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

PRK kali ini diadakan selepas mahkamah mendapati berlaku salah laku dalam pilihan raya lalu, menyebabkan penyandangnya C Sivarraajh hilang kelayakan sebagai anggota parlimen.

 

Wan Rosdy juga dilaporkan turut disiasat SPRM kerana didakwa membeli undi pada PRU lalu.

Baru-baru ini pula pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, menyatakan rasa bimbang ekoran beberapa menteri dan anggota parlimen PH mengadakan majlis menggunakan sumber kerajaan pusat di kawasan tanah tinggi itu menjelang hari pengundian pada 26 Jan ini.

Ramli (dua dari kanan) bersama pemimpin BN dan PAS

BN meletakkan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor, sebagai calon, manakala PH mempertaruhkan calon merepa pada PRU ke-14 lalu, M Manogaran.

Seorang lagi calon yang akan bertanding ialah Presiden MyPPP, M Kayveas.

Pada 9 Mei 2018 Sivarraajh dari MIC mempertahankan kerusi Cameron Highlands yang dimenangi BN sejak empat penggal lalu dengan mengetepikan Manogaran dengan kelebihan 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi.

Turut bertanding di kerusi itu pada tahun lalu ialah calon PAS, Parti Sosialis Malaysia dan Berjasa.

Sementara itu Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang akan membincangkan isu tarif air di negeri itu sebelum membuat keputusan mutkamad sama ada menaikkan kadarnya atau tidak.

Isu itu timbul selepas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar pada Selasa memberitahu kadar air di seluruh negara mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS