Anwar: Kita perlu bukti rasmi jika mahu usir Zakir Naik
Kerajaan Malaysia memerlukan bukti rasmi sebelum dapat menghantar pulang pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berrkata demikian ketika diwawancara dengan akhbar India, The Hindu, yang menegaskan bahawa Dr Zakir adalah duri dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"Ini tidak dibangkitkan dengan saya secara peribadi. Kami tidak menerima semua dakwaan itu melainkan jika kami dibekalkan dengan butirannya.
"Kami memerlukan beberapa bukti. Malaysia amat lantang menentang keganasan, dan sekiranya kita diberikan bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa seseorang itu terlibat, kita tidak akan bertolak ansur," katanya.
Menjawab soalan lain, Anwar mengakui terdapat permohonan rasmi dari kerajaan India untuk pengusiran Zakir.
Akhbar itu mengambil maklum bahawa di sebalik semua itu, dan kekecewaan mereka di Delhi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjumpa dengan pendakwah itu, yang juga adalah penduduk tetap di Malaysia.
"Perjumpaan itu berlaku sebelum permohonan tersebut," kata Anwar.
"Pihak berkuasa belum diberikan bukti rasmi. Ya, ada permintaan dari India, tetapi kami tidak bertindak semata-mata atas permintaan itu kecuali terdapat juga kes yang kuat.
“Kami tidak merestui sebarang bentuk keganasan," katanya.
Delhi mendakwa pendakwah kelahiran India itu menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan ada kaitan dengan keganasan, tetapi ini dinafikan oleh Dr Zakir.
Pada 6 Julai tahun lepas, Mahathir berkata Zakir boleh menetap di Malaysia dengan syarat beliau menjaga tingkah lakunya.
Sebagai responsnya, Zakir berjanji bahawa dia tidak akan mengganggu keharmonian di Malaysia atau melanggar peraturan undang-undang negara.






