Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MIC saran menteri letak jawatan jika polis terus gagal kesan anak Indira Gandhi

MIC Wilayah Persekutuan hari ini mendesak Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran supaya memberi tekanan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas polis dikatakan masih gagal mengesan lokasi anak perempuan dan bekas suami Indira Gandhi.

Pengerusi Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan, S Rajah berkata Kulasegaran juga perlu meletakkan jawatannya sebagai menteri jika pihak polis terus gagal mengesan anak gadis Indira walaupun sudah lebih setahun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Saya faham bahawa Kulasegaran bukanlah Menteri KDN. Tetapi, ia tidak boleh menjadi satu sebab kepada beliau terlepas daripada tugasnya.

“Beliau masih boleh menekan menteri KDN yang juga rakan sejawatnya untuk mengesan anak gadis Indira Gandhi.

"Beliau sepatutnya mengambil peluang di mesyuarat kabinet dengan membawa isu Indira Gandhi bagi mendapatkan keadilan kepada perjuangan Indira Gandhi yang berjuang sejak tahun 2010," katanya kepada pemberita di PutraJaya, hari ini.

Kata Rajah, sebelum ini, Kulasegaran selaku peguam Indira Gandhi sentiasa mengkritik kerajaan BN dengan pelbagai tuduhan.

"Hampir setiap kali, adanya kes Indira Gandhi, Kulasegaran tidak pernah terhenti menuduh kerajaan BN dan pihak polis.

“Tetapi, setahu saya tidak ada kenyataan daripada Kulasegaran selepas menjadi menteri," katanya.

Sekadar untuk publisiti

Beliau turut mendakwa segala perjuangan Kulasegaran dalam kes ini hanya sekadar untuk publisiti dan mencabar pemimpin DAP itu supaya tidak lagi mengambil sikap berdiam diri.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengakui pihak polis masih gagal mengesan lokasi anak perempuan dan bekas suami Indira Gandhi.

Laporan Malay Mail, memetiknya sebagai berkata pelbagai rayuan dan permohonan polis dibuat untuk mendapatkan maklumat bagi mengesan Prasana Diksa yang berusia 10 tahun dan ayahnya, Muhammad Riduan Abdullah.

Malah, kata Fuzi, pengarah CID pada sidang akhbarnya turut merayu kepada orang ramai untuk tampil dengan sebarang maklumat mengenai bekas suami dan anak perempuan Indira Gandhi, tetapi sehingga kini tiada siapa yang tampil.

Beliau berkata, pencarian akan berterusan kerana ini adalah perintah mahkamah yang diberikan kepada pihak.

Bagaimanapun, Rajah menolak kenyataan polis itu sebagai kurang ikhlas.

"Secara umum, rakyat Malaysia tidak percaya bahawa pihak polis tidak dapat mengesan Ridhuan dan anaknya. Ini boleh dilihat di media sosial dimana netizen mengkritik tindakan polis mencari Riduan dan anaknya sebagai tidak bersungguh-sungguh dan sebagainya.

"Malah, saya sendiri mempunyai soalan, bagaimana pihak polis boleh mengesan pemimpin Umno Jamal Md Yunus yang sembunyi di Indonesia dalam masa beberapa hari, tetapi gagal dalam kes anak gadis Indira Gandhi?

Rajah turut menggesa Kulasegaran supaya mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan situasi terkini kes Indira Gandhi.

"Kes ini sangat penting kepada rakyat kita, khususnya kepada ibu bapa yang berlainan agama," katanya.

Perbicaraan yang berpanjangan

Prasana dibawa lari kira-kira 10 tahun lalu oleh Riduan, seorang mualaf sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan, setelah dia secara satu pihak menukar agama semua anak-anaknya kepada Islam pada tahun 2009. Prasana ketika itu hanya berumur 11 bulan.

Ini mencetuskan perbicaraan yang berpanjangan melibatkan kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Mahkamah Tinggi kemudian pada tahun 2014 mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan.

Ini disusuli dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang membatalkan penukaran ketiga-tiga anak-anak Indira kepada Islam, dan memutuskan bahawa kebenaran diperlukan dari kedua-dua ibu dan bapa sebelum agama seseorang anak itu boleh diubah.

Walau bagaimanapun, tidak ada kesan kanak-kanak itu mahu pun bekas suami Indira. Dalam surat terbuka emosi yang diterbitkan November lalu, Indira memohon kemas kini maklumat mengenai anak perempuannya daripada Fuzi dan kerajaan Pakatan Harapan.

"Di mana mereka? Adakah Prasana hidup? Adakah dia sihat? Sebagai ibunya, saya tidak tahu perkara-perkara ini yang sepatutnya saya tahu kerana kenapa pihak berkuasa belum memberitahu saya apa-apa mengenainya.

"Malaysia baru buat saya adalah hari anak perempuan saya dikembalikan. Jadi kepada IGP dan kerajaan PH, berapa lama lagi?" petik suratnya itu.

Lihat Komen
ADS