Kejatuhan hibah TH sebab prestasi pasaran selepas PRU14, kata Najib
Penurunan besar nilai pelaburan Tabung Haji (TH) dalam pasaran ekuiti adalah faktor utama pembayaran hibah Lembaga Tabung Haji dijangka rendah untuk tahun 2018, kata bekas perdana menteri, Najib Razak.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini, kata penurunan itu berlaku lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat.
“Melihat perkembangan semalam dan pagi ini, Tabung Haji akan mengumumkan hibah untuk tahun 2018 tidak lama lagi, tetapi kadar hibah dijangka akan sangat rendah.
“Pada tempoh pengumuman hibah ini, kerajaan PH tentu membuat pelbagai cerita untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional dahulu sebagai alasan kadar hibah rendah,” katanya.
Najib turut berkongsi lampiran dipetik daripada Bloomberg yang memaparkan kejatuhan ketara pelaburan ekuiti TH sepanjang 2018.
“Ini sebab utama mengapa hibah rendah untuk tahun 2018. Bukan kerana defisit atau apa-apa penyelewengan,” katanya.
Najib mengulas kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat, semalam yang mengingatkan, para pendeposit supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi atas alasan “kita baru baik dari demam.”
Bekas perdana menteri itu juga mempersoalkan kegagalan kerajaan PH yang masih tidak dapat memberi jawapan mengapa TH mengalami defisit RM4.1 bilion apabila aset bernilai RM19.9 bilion ini di bawah nama TH tetapi tidak mengalami sebarang defisit bila aset-aset yang sama ialah di bawah nama SPV.
“Adakah ini dengan cara creative accounting?” soalnya.






