Siasatan Jho Low: Pihak berkuasa selidik sebelum perjanjian bon 1MDB
Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat jauh lebih lama daripada sebelum perjanjian bon 1MDB dalam siasatan mereka ke atas Jho Low, lapor sebuah media Amerika Syarikat.
Menurut Bloomberg, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho, mendapat keuntungan daripada penjualan bon bernilai RM5 bilion pada 2009 yang membabitkan syarikat sebelum 1MDB, iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan kumpulan perbankan AmBank Malaysia serta beberpa syarikat Thai dan Singapura.
Memetik sumber, Bloomberg menyatakan bahawa ini dikaitkan dengan dana AS$126 juta yang didakwa diterima oleh Low dan sekutunya, Eric Tan Kim Loong berhubung penerbitan nota jangka sederhana Islam oleh TIA pada bulan Mei 2009.
Kedua-dua Low dan Tan telah dituduh dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram berhubung perkara ini.
Laporan itu menyebut bahawa penyiasat sedang mengesan aliran wang kepada Low serta pegawai di TIA dan bank tersebut yang berkemungkinan bersubahat dengan Low.
Low adalah penasihat TIA pada ketika itu dan dikatakan terlibat dalam perbincangan bon.






