PSM ‘kemungkinan besar’ tanding di Semenyih
Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding di kerusi DUN Semenyih di Selangor semasa mesyuarat hujung minggu ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan berkata: "Kemungkinan besar, kami akan bertanding."
"Kami akan adakan satu mesyuarat terakhir untuk mencapai keputusan. Kami juga mahu lihat trend pengundi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands (Sabtu lalu)," katanya.
Arutchelvan berkata, bagi PSM bahagian Semenyih dan akar umbinya, parti itu akan bertanding kerusi berkenaan.
Dia menegaskan bahawa PSM telah bertanding kerusi berkenaan semasa pilihan raya lalu, dan mencapai prestasi memberangsangkan pada masa lalu sebelum persempadanan semula yang terakhir diadakan.

Tambahan pula, katanya, PSM telah melakukan banyak kerja di Semenyih, khususnya mendekati penduduk di sana.
"Apabila kita tidak bertanding di Cameron Highlands (walaupun telah melakukan banyak kerja), ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu," katanya.
Arutchelvan berkata pertandingan kerusi Semenyih pada 2 Mac nanti bakal menjadi platform yang baik untuk menimbulkan isu mengenai kerajaan negeri Selangor.
"Ini peluang baik untuk membangkitkan isu-isu, kerana pilihan raya ini tidak akan memberi kesan kepada status kerajaan persekutuan atau negeri," katanya.
Ditanya jika dia akan dinamakan sebagai calon, Arutchelvan menjawab: "Tidak semestinya, boleh jadi orang lain."
Pada pilihan raya umum lalu, Arutchelvan memperoleh 1,293 undi dalam pertandingan empat penjuru itu.
Kerusi Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, yang mewakili Bersatu meninggal dunia, tiga minggu lalu.






